Proses kelulusan Lesen Mineral (Tanpa Premis Penyimpanan) dipercepatkan daripada 61 hari kepada hanya 7 hari

Screenshot 2025 05 16 161357

PUTRAJAYA: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menerima pengiktirafan atas kejayaan melaksanakan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang mempercepatkan proses kelulusan Lesen Mineral (Tanpa Premis Penyimpanan) daripada 61 hari kepada hanya tujuh hari.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pelaksanaan inisiatif itu dijangka mampu mengurangkan kos pematuhan syarikat pedagang mineral hingga 20 peratus.

Selain itu, katanya, ia juga akan merancakkan perdagangan domestik dan antarabangsa serta menjana hasil kerajaan dianggarkan sebanyak RM1.3 juta setahun.

"Pengiktirafan terhadap kejayaan ini diberikan melalui penganugerahan Sijil Penghargaan kepada JMG yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, kepada Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim, pada 10 April lalu.

"Reformasi ini mencerminkan komitmen kementerian dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menyokong kelancaran operasi industri, khususnya sektor mineral negara.

"Projek ini dilaksanakan bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi memastikan peraturan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan berkesan, selain mengurangkan kos pematuhan kepada perniagaan serta rakyat," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, NRES berkata, RKB turut disokong melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030.

Katanya, ia bertujuan memperkasakan agensi kerajaan ke arah perkhidmatan berprestasi tinggi dan kesejahteraan rakyat.

"Ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan daya saing, mempercepatkan urusan pentadbiran dan menyokong pertumbuhan eksport mineral secara mampan," menurut kenyataan itu lagi.

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input