ALOR SETAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar kegiatan mengambil pasir dari sungai secara haram hasil serbuan di tiga lokasi berasingan di Kulim, Kuala Mudan dan Bukit Selambau di Sungai Petani, semalam.
Hasil serbuan hasil kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah itu, 13 lelaki ditahan dengan pelbagai kelengkapan
dirampas membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2 juta.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, antara dirampas termasuk empat jengkaut, enam lori, jentolak dan traktor, dua rumah penyedut pasir berserta enjin dan lain-lain kelengkapan disyaki digunakan untuk mengesktrak pasir secara haram dari sungai.
"Siasatan mendapati pemilik tapak perlombongan melakukan aktiviti haram ini sejak setahun lalu dan menjual pasir terbabit untuk pasaran berdekatan dengan harga lebih kurang RM400 satu lori.
"Semakan lanjut juga mendapati pemilik tapak tidak memiliki permit atau lesen daripada PTG Kedah untuk mengekstrak pasir dari sungai berkenaan," katanya melalui kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.