Malaysia sasar terajui rantaian nilai nadir bumi serantau - MOSTI

Screenshot 2025 04 24 161601

BANGI: Malaysia berpotensi besar untuk muncul sebagai pemain utama dalam rantaian nilai unsur nadir bumi (REE), di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perang perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata negara kini menarik minat ketara daripada pelabur Barat dan China, susulan kedudukannya yang strategik dalam sektor pemprosesan REE.

"Mereka sangat berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia. Malah, Presiden China, Xi Jinping turut menyatakan komitmen untuk membantu negara membangunkan teknologi pemprosesan REE," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel dalam program Tech Talk MOSTI di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Chang berkata, bagi menyokong pembangunan industri REE, kerajaan sedang meneliti pindaan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), yang ketika ini mengehadkan tempoh lesen kepada hanya tiga tahun – suatu jangka masa yang disifatkannya sebagai tidak kondusif untuk pertumbuhan mampan.

"Salah satu pindaan penting melibatkan Seksyen 16(6), yang mengehadkan kuasa kementerian untuk mengeluarkan lesen selama tiga tahun sahaja. Kita jangka pindaan ini akan dibentangkan tahun ini," katanya.

Tambah beliau, Malaysia perlu segera membangunkan keupayaan di peringkat pertengahan dan huluan sektor REE kerana peluang untuk menguasai pasaran ini adalah terhad.

"Kita tak boleh tunggu lama kerana peluang ini kecil. Kita perlu manfaatkan segala kekuatan yang ada," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Chang mendedahkan Malaysia memiliki anggaran simpanan REE sebanyak 16 juta tan yang belum diterokai, dengan nilai dianggarkan melebihi RM800 bilion. - Bernama

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input