Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menjelaskan tiada sebarang lesen melombong, khususnya emas dikeluarkan kerajaan negeri dalam isu perlombongan mineral di Sabah.
Beliau berkata, apa yang dikeluarkan kerajaan negeri sehingga kini hanyalah lesen mencari gali atau 'prospecting licence' (PL) sebagai kebenaran untuk syarikat melakukan kerja eksplorasi di kawasan yang ditetapkan.
"Kita tidak pernah hingga ke saat ini memberi lesen melombong kepada syarikat yang telah memohon, apa yang berlaku ialah satu permohonan mencari gali.
"Soalnya kenapa kita tidak bagi kepada kerajaan, saya ingin menjawab soalan itu," katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) yang berlarutan hingga hampir jam 8 malam tadi.
Beliau memberi penjelasan itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) meminta penjelasan mengenai tanah seluas kira-kira 400 hektar di Nagos, Semporna yang didakwa diberi kepada pihak tertentu untuk aktiviti eksplorasi mineral.
Hajiji menjelaskan lesen mencari gali adalah bukan pajakan melombong (Mining Lease) yang membenarkan pemegang lesen melakukan pengeluaran mineral.
Katanya, bagi pajakan melombong, segala kepentingan kerajaan seperti ekuiti, royalti, fi pajakan melombong dan lain-lain akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet negeri.
"Tapi, kita belum sampai ke tahap itu, kita belum pun mengeluarkan lesen melombong.
"Jadi, persoalannya di kawasan Nagos ini, keputusan untuk memberikan lesen mencari gali (PL) kepada syarikat swasta adalah berdasarkan kepada strategi kewangan yang kukuh dan pengurusan risiko yang bijak.
"Aktiviti penerokaan mineral adalah satu aktiviti yang rumit dari segi teknikal seperti geologi kawasan, jenis mineral, infrastruktur dan lain yang memerlukan modal yang tinggi, dan berisiko tinggi.
"Ia memerlukan pelaburan awal yang besar tanpa sebarang jaminan pulangan," katanya mengulas kenapa kerja eksplorasi itu tidak diberi kepada syarikat milik kerajaan.