YAN: Kawasan kaki Gunung Jerai di sini akan dipasang sistem amaran bencana yang bertindak memberi amaran awal sekiranya berlaku fenomena kepala air di kawasan tersebut.
Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, pemasangan sistem amaran itu masih dalam kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Kami ada berbincang dengan JMG mengenai perkara ini dan sistem amaran bencana dijangka dipasang beberapa bulan dari sekarang.
“Setiap hari laporan daripada JMG diberikan kepada saya sebagai Pengerusi Bencana Daerah dan setiap hari juga kita memantau keadaan di sana (Gunung Jerai),” katanya selepas Program Mekar Prihatin Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia di pekarangan Masjid Jamek Badlishah, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Datuk Saadon Othman.
Dalam tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk maut selepas dibawa arus deras dan dihempap tanah runtuh.
Tragedi itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat luar biasa di puncak Gunung Jerai kira-kira pukul 3.30 petang.
Selain itu, Tunku Iskandar Shah berkata, penduduk kaki Gunung Jerai kini berada dalam fasa pemulihan dengan aktiviti pembersihan dijangka mengambil masa antara sebulan hingga dua bulan lagi.
Katanya, Pejabat Daerah Yan merancang meneruskan rutin harian penduduk seperti membuka semula pasar malam, pasar tani dan pasar pagi dalam tempoh seminggu dari sekarang.
“Terima kasih saya ucapkan kepada setiap kementerian kerana membantu penduduk di daerah ini dengan memberikan sumbangan dan memudahkan urusan penduduk yang terkesan dengan banjir lumpur akibat fenomena kepala air,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE