Tidak ada agensi beri kelulusan melombong REE di Sik - Saifuddin

20hmnadi1a 1689855288

Kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang didakwa memproses nadir bumi REE. Foto NSTP.


Pendang: Sebanyak 13 agensi kawal selia aktiviti perlombongan di negara ini tidak memberi sebarang kelulusan kepada Kedah untuk aktiviti melombong unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya, hanya memberikan kebenaran eksplorasi di bawah Enakmen Mineral Negeri kepada syarikat terbabit.

Katanya, semakan dilakukan jelas menunjukkan tidak ada satu agensi berkaitan kegiatan perlombongan pernah memberikan kebenaran kepada Kedah melakukan kegiatan melombong sejak 2020.

"Seawal 2020, Sanusi tulis surat kepada bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk prosedur operasi standard (SOP) melombong REE, tetapi SOP perlombongan belum ada lagi.

"Tapi Kedah keluarkan sejumlah lesen meneroka di bawah Enakmen Mineral Negeri yang sepatutnya bermaksud kebenaran untuk tebuk tanah dan ambil sampel ke makmal sebelum yakin boleh diusahakan.

"Selepas itu, baru minta lesen carigali, ada 13 agensi kawal selia sebelum bahan itu boleh dilombong dan dieksport. Dalam kes Kedah, tak ada satu kelulusan agensi kawal selia, sedangkan kes melombong berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pendedahannya mengenai kejadian kecurian REE di Kedah adalah permulaan kepada lebih banyak siri pendedahan selepas umum mengetahui mengenainya melalui tangkapan Januari lalu.

"Kes tangkapan pertama Januari lalu, masih disiasat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), ada kertas siasatan masih belum disiapkan lagi, belum ada penamat kepada kertas siasatan, tapi Ketua Pegawai Eksekutif MBI bagi lagi surat kebenaran kepada syarikat buat eksplorasi pada Mei.

"Tangkapan itu membawa kepada kertas siasatan dibuka JPNK dan JMG. Elok tanya dua jabatan itu termasuk Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah kerana cara dia itu tahu banyak perkara. Apa jadi kepada kertas siasatan? Kalau dia tak mahu beritahu, saya akan dedahkan sehari dua ini.

"Surat diberikan CEO MBI kepada syarikat ini adalah izin melakukan eksplorasi bukan melombong REE kerana Ibu Pejabat JMG maklum tiada kebenaran melombong diberi, hasil REE ini pula dieksport, tapi tak ada Lesen Eksport (AP)," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta Muhammad Sanusi menjelaskan di mana dua lelaki warga China yang diambil bekerja oleh MBI berada ketika ini.

"Faktanya, dua warga China itu majikannya adalah MBI kerana mereka masuk atas permohonan Menteri Besar melalui surat kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini.

"Salah seorang daripada mereka ditangkap pada Januari lalu, apa tindakan MBI ke atas dua profesional ini? Apa status mereka? Adakah mereka mereka masuk untuk menasihati MBI mengenai kawasan ada REE?

"Sekiranya mereka ahli geologis, adakah mereka berdaftar di bawah Lembaga Geologis Malaysia (BoD), adakah profil mereka ini diberikan ketika memohon kelulusan Pas Lawatan Ikhtisas yang dikemukakan kepada Hamzah ketika itu?" katanya.

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input