Page 127 - Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030
P. 127
PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030 PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030
vii. Pakar Komuniti
Aspek yang sangat penting dalam wawasan geopark ialah
penglibatan komuniti setempat. Geopark tidak boleh diwujudkan di
kawasan tanpa komuniti. Oleh yang demikian, pakar komuniti diperlukan
dalam menggalakkan penyertaan komuniti setempat bagi menyokong
sektor geopelancongan termasuk aktiviti penyediaan perkhidmatan
penginapan, pengangkutan, makan minum dan juga penyediaan khidmat
jurupandu pelancong.
viii. Pakar Pendidikan
Kejayaan pembangunan geopark dan pemuliharaan warisan
bergantung pada dua faktor: 1) kesedaran pihak berkepentingan,
penglibatan dan penghayatannya berkaitan nilai warisan dan peluang
ekonomi; dan 2) pendidikan awam untuk semua pihak berkepentingan
secara terfokus dan berterusan (Norzaini Azman et al., 2009).
Warisan semula jadi di kawasan geopark perlu dipelihara dan
dipulihara supaya boleh dimanfaatkan untuk peningkatan tahap sosio-
ekonomi komuniti setempat pada masa kini dan pada masa akan datang.
Sehubungan dengan itu aspek pendidikan amat penting diterapkan kepada
terutamanya kepada generasi muda dalam kalangan komuniti setempat
kerana mereka yang akan mewarisi sumber semula jadi tersebut dan
seterusnya mewariskannya kepada generasi akan datang. Maka usaha
memberi kefahaman kepada golongan ini perlu dilakukan secara
berterusan bermula dengan memberi pendidikan di peringkat sekolah di
samping pendidikan kepada komuniti secara keseluruhan. Penglibatan
pakar pendidikan amat diperlukan dalam merangka program pendidikan
awam yang bersesuaian untuk pembangunan geopark dan pemuliharaan
sumber warisan semula jadi.
112