Page 124 - Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030
P. 124
PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030 PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030
8.1.2 Kepakaran
Geopark bukan sekadar pembangunan warisan geologi yang di terajui oleh
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, tetapi melibatkan hubung kait antara
warisan geologi, warisan biologi dan warisan budaya. Ketiga-tiga jenis warisan ini
perlu dibangunkan secara holistik dan kerjasama antara beberapa agensi
berkaitan seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan
Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Warisan Negara dan Jabatan
Kebudayaan dan Kesenian perlu terlibat sama.
Geopark bukan hanya mengenai batuan atau semata-mata mengenai
warisan geologi, tetapi menggabungkan kepelbagaian sumber warisan semula
jadi yang ada di sesuatu kawasan secara bersepadu. Sehubungan dengan itu,
kepakaran dalam pelbagai bidang amat diperlukan bagi menjayakan wawasan
geopark.
i. Pakar Geologi
Kawasan Geopark perlu mempunyai maklumat teknikal geologi
yang mempamerkan keunikan dan keistimewaan tersendiri daripada aspek
warisan geologi, landskap, nilai arkeologi dan budaya serta berpotensi
sebagai pusat tumpuan pelancongan. Kepakaran dalam bidang geologi
diperlukan ke arah menjadikan aset-aset warisan geologi di geopark dan
kawasan sekitarnya sebagai pusat pelancongan dan dibangunkan sebagai
suatu rangkaian zon warisan yang berasaskan sumber-sumber semula
jadi, sejarah dan budaya yang dilengkapkan dengan komponen-komponen
pelancongan yang sesuai.
Pakar geologi berperanan melakukan pengenalpastian dan
pencirian terhadap kepelbagaian sumber warisan geologi.
Pengenalpastian merupakan peringkat paling asas dalam usaha mengenal
pasti sumber warisan di sesebuah tempat. Pengenalpastian dilakukan
melalui pemetaan geologi asas dengan tumpuan kepada stratigrafi,
tektonik dan geomorfologi bagi mengenal pasti potensi warisan geologi
penting yang ada. Seterusnya, pakar geologi melakukan pencirian sama
ada sumber warisan geologi berkenaan mempunyai nilai saintifik, estetik,
budaya dan rekreasi. Pencirian dilakukan melalui pemetan geologi
109