Page 140 - Garis Panduan Perolehan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) Kerajaan
P. 140
Garis Panduan Perolehan ICT Kerajaan
5.3.4 Pegawai yang boleh menandatangani Surat Setuju Terima hendaklah pegawai
awam yang diberi kuasa di bawah Seksyen 2 Akta Kontrak Kerajaan 1949
[Akta 120].
5.4 Bon Pelaksanaan
5.4.1 Bon Pelaksanaan adalah merupakan suatu aku janji tidak bersyarat (unconditional
undertaking) oleh sesuatu institusi kewangan yang dibenarkan oleh Kementerian
Kewangan untuk membayar kepada Kerajaan suatu amaun tertentu atas tuntutan
(on demand) sekiranya syarikat tidak atau gagal mematuhi dan melaksanakan
obligasinya di bawah kontrak.
5.4.2 Syarikat dikehendaki mengemukakan Bon Pelaksanaan mengikut kadar yang
ditetapkan selaras dengan SPP yang berkuat kuasa. Bagi kontrak bermasa
(periodic contract) yang berkuat kuasa dalam tempoh dua (2) tahun atau lebih,
peratus Bon Pelaksanaan hendaklah dikira mengikut harga anggaran kontrak bagi
satu (1) tahun sahaja. Walau bagaimanapun, Bon Pelaksanaan yang dikemukakan
oleh syarikat hendaklah meliputi keseluruhan tempoh kontrak bermasa.
5.4.3 Tempoh sah laku jaminan bon pelaksanaan adalah bermula dari tarikh kontrak
berkuat kuasa sehingga dua belas (12) bulan selepas tamat tempoh kontrak atau
selepas penghantaran terakhir yang mana terkemudian.
5.4.4 Kadar bon pelaksanaan dan tempoh sah laku yang dikenakan adalah mengikut
peraturan semasa yang berkuat kuasa.
5.4.5 Bon Pelaksanaan tidak terpakai bagi perolehan Perkhidmatan Perunding ICT.
5.5 Penyediaan Dan Tandatangan Kontrak
5.5.1 Selepas Surat Setuju Terima ditandatangani, satu kontrak formal hendaklah
disempurnakan. Kontrak yang ditandatangani oleh Kerajaan dengan syarikat
yang dilantik adalah legally binding. Ia menggariskan hak, obligasi dan
membentuk asas perhubungan di antara pihak-pihak berkenaan mengenai
perolehan yang dipersetujui.
5.5.2 Kandungan kontrak hendaklah merangkumi semua dokumentasi yang berkaitan
dengan perolehan seperti Surat Setuju Terima, Borang Tawaran, Jadual Harga,
Syarat-Syarat Khas Kontrak, Syarat-Syarat Am Kontrak, Spesifikasi Keperluan,
Skop, Jadual Kerja dan perkara-perkara lain berkaitan.
5.5.3 Kandungan Perjanjian Perundingan adalah seperti dinyatakan dalam Manual
Perkhidmatan Perunding yang berkuat kuasa. Agensi hendaklah mengguna pakai
format standard untuk perjanjian Kerajaan yang berkuat kuasa yang disediakan
dan diedarkan oleh Jabatan Peguam Negara, Garis Panduan Kontrak ICT bagi
Pembangunan Sistem Aplikasi dan Perjanjian Piawai Perunding yang dikeluarkan
oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
107