SHAH ALAM - Unsur nadir bumi (REE) yang merupakan aset bernilai milik Malaysia boleh menjadi salah satu alat strategik untuk dimanfaatkan kerajaan dalam rundingan lanjut dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balik mengejut yang dikenakan ke atas negara ini.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, Malaysia perlu menggunakan segala kekuatan yang dimiliki bagi memastikan negara tidak menerima kesan besar akibat perang tarif yang sedang melanda dunia.
Menurutnya, REE amat penting dalam pelbagai teknologi yang digunakan AS, termasuk dalam sektor elektronik, pertahanan dan tenaga hijau.
“Tapi paling penting bagi saya, kita jangan jual REE secara mentah. Kita perlu berunding dengan mereka (AS)...kita ada bahan, ada kepakaran dan ada kemampuan untuk memproses sumber alam ini menjadi produk, barulah kita eksport.
“Saya yakin dengan aset strategik yang kita miliki ini, ia boleh menjadi alat rundingan yang berkesan,” katanya ketika program Interviu yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Program tersebut dihoskan oleh Haizir Othman dan membincangkan tajuk 'Perang Tarif dan Ketidaktentuan: Apa Strategi Kita?'.
Mohd Shahar yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu memastikan isu alam sekitar ditangani dengan baik dalam usaha memperkasa aset REE negara.
“Banyak kajian dan kejayaan di luar negara menunjukkan tiada kesan negatif kepada alam sekitar sekiranya proses tersebut dipatuhi dan dilaksanakan dengan betul.
“Kita ada REE, ada kepakaran, ada pengalaman. Cuma kita mesti duduk semeja dan bincang supaya mereka (AS) hanya melabur dan membuka kilang di negara ini tanpa membawa keluar sumber mineral,” katanya.
Tegas beliau, walaupun kebanyakan tapak potensi REE terletak di bawah kerajaan negeri pimpinan pembangkang, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang demi manfaat negara dan negeri-negeri yang terlibat.
“Proses ini mesti dilaksanakan secara rasional tanpa dipengaruhi perdebatan politik.
“Kalau kita tidak bangunkan REE dengan tenaga tempatan dan kilang di Malaysia, pihak lain akan mendapat manfaat daripada hasil mineral negara kita,” ujarnya.
Tambah beliau, krisis perang tarif ini harus digunakan sebagai peluang untuk meningkatkan keupayaan Malaysia menghadapi cabaran masa depan.
Ini kerana, katanya, salah satu ancaman besar dalam isu tarif adalah kepesatan teknologi yang sangat dinamik.
“Kalau kita tidak gunakan krisis ini untuk menukarnya kepada peluang, kita akan berada dalam keadaan bahaya. Peluang yang saya nampak adalah untuk memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.
“Saya amat berharap dalam Belanjawan 2026 nanti dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diumumkan kerajaan tahun ini, sektor R&D diberi penekanan sewajarnya.
“Teknologi bulan ini lain, bulan depan lain...tapi kita masih hanya pengguna. Bilakah Malaysia akan menjadi peneraju teknologi dunia? Asasnya, kita perlu mulakan sekarang,” katanya.
Tambah beliau lagi, sekiranya Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk menyelidik sumber mineral dan memperkasa pengeluaran produk, negara akan terus bergantung kepada pihak lain.
“Kebergantungan inilah yang akan menyebabkan kita terdedah kepada krisis. Namun, jika kita dapat memperkasakan peluang ini melalui R&D, kita akan berada dalam keadaan lebih baik dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.