Sultan Negeri Kedah Darul Aman perkenan berangkat melawat tempat kejadian tragedi kepala air yang berlaku di Gunung Jerai

YAN, 16 SEPTEMBER 2021 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman perkenan berangkat melawat tempat kejadian tragedi kepala air yang berlaku di Gunung Jerai, di sini, hari ini.
Baginda dipersembahkan taklimat kronologi kejadian oleh Pegawai Daerah Yan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Yan, diikuti taklimat daripada Ketua Polis Daerah Yan dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Kedah.
Dalam majlis sama, Baginda turut perkenan mengurniakan kurniaan peribadi untuk mangsa bencana alam berkenaan yang dikurniakan kepada Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi tersebut dan berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Baginda turut berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar roh individu-individu yang terkorban dalam tragedi itu ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.
Baginda berharap fenomena ini dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua pihak agar menghargai khazanah alam semula jadi dan memelihara serta menjaga alam sekitar.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input