Runtuhan tanah di Pos Dipang, tiada penduduk dipindahkan - MB Perak

IPOH: Tiada pemindahan penduduk dilakukan di Pos Dipang dekat Kampar, di sini, meskipun lima rumah dilapor diancam bahaya susulan insiden rebakan tanah dan runtuhan di perkampungan itu pada 12 Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ketika ini siasatan dan penilaian masih dijalankan agensi teknikal untuk mengenal pasti punca, di samping tahap keseriusan rebakan tanah serta tanah runtuh di situ termasuk bagi pelaksanaan kerja pembaikan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Kita sudah minta jabatan terbabit melihat sejauh mana keseriusan kejadian itu sama ada ia disebabkan faktor hujan atau kerana berlaku penggondolan tanah, serta sejauh mana ia serius dan perlu untuk dibuat pembaikan.

"Ia berkaitan hal teknikal dan disebabkan itu ia perlu dilihat menggunakan kepakaran masing-masing terutama sekali oleh Unit Bahagian Cerun JKR," katanya ketika ditemui selepas program Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, PDT Kampar menerusi Facebook memaklumkan lima rumah di Pos Dipang terjejas susulan insiden pada 12 Januari lalu, dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, hasil pemantauan mendapati tiga rumah di lereng bukit berdekatan Klinik Kesihatan dalam keadaan membimbangkan.

Malah, bomba turut menasihati penduduk keluar dari kawasan rumah terbabit dan tinggal sementara di Dewan Pos Dipang untuk tujuan keselamatan.

Sabtu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi, dilapor berkata sedikit gelungsuran tanah dikesan di Pos Dipang susulan hujan lebat yang turut mengakibatkan banjir kilat di Kampung Sahom yang terletak tidak jauh dari perkampungan Orang Asli terbabit.

Azlan dilapor berkata, pihaknya juga sudah letakkan amaran waspada kepada PDT supaya Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Dipang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga untuk dijadikan pusat pemindahan sementara jika hujan lebat turun lebih sejamdan penduduk kampung diminta segera segera berpindah.

Banjir kilat melanda Kampung Sahom pada Rabu minggu lalu disifatkan paling buruk sejak lebih 20 tahun lalu iaitu sejak Tragedi Pos Dipang yang membabitkan bencana banjir lumpur pada Ogos 1996 yang meragut 44 nyawa.

Sumber : Berita Harian

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input