Perak pertimbang keluar lesen khas jurupandu geotapak terlatih

 

5DBA6C86 8C91 4A6B B91B 24BA15447A7D

IPOH: Kerajaan negeri mempertimbang cadangan mengeluarkan lesen khas kepada jurupandu geotapak terlatih di negeri ini, bagi memperluas peranan mereka dalam mengembangkan industri pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata setakat ini tiada lesen khusus untuk jurupandu geotapak dan pihaknya mengakui ada kelompongan berhubung perkara itu.

"Walaupun secara rasmi belum ada satu kategori khusus untuk jurupandu itu, buat permulaan ini kita akan mengumpul data senarai jurupandu geotapak yang sudah dilatih dan mendaftarkan mereka sebagai jurupandu di bawah Perbadanan Taman Negeri terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide> Geopark Lembah Kinta, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Nizarul Ikram Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya kini berusaha mendapatkan pengiktirafan lesen bersesuaian terhadap jurupandu di peringkat Kerajaan Pusat sama ada melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) atau Kementerian Pelancongan.

"Ini (lesen khas kepada jurupandu geotapak) satu perkara baharu yang akan kita fikirkan secara bersama dengan Kerajaan Pusat.

"Kita akan mencadangkan kepada pihak Persekutuan untuk mewujudkan satu kategori khusus," katanya.

Mengulas program hari ini, beliau berkata program membabitkan 50 peserta anjuran JMG dan KeTSA dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri itu lanjutan kepada kursus latihan asas Geoguide untuk Geopark Lembah Kinta yang diadakan sebelum ini.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, Geotapak Lembah Kinta disambung pengiktirafannya selama tempoh lima tahun dan ia sesuatu yang mencabar untuk mengekalkan status itu berikutan membabitkan kawasan luas termasuk seluruh bandar raya Ipoh.

"Pemerhatian akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan semua agensi terbabit dalam usaha memastikan geotapak ini dipelihara, disamping dijadikan sebagai sumber pendapatan khususnya penduduk setempat," katanya.