Jawatankuasa induk peringkat pusat ditubuh, elak ada broker lombong

A806688D DC26 47F3 8F2F CCF8AA9A1793

PUTRAJAYA: Kementerian Tanah dan Sumber Asli bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa induk peringkat pusat bagi menyelaraskan segala isu berkaitan sektor perlombongan mineral.

Ketua Setiausahanya, Datuk Rosli Isa berkata, langkah tersebut juga untuk mengelak usaha manipulasi oleh pihak broker yang cuba mengambil kesempatan dalam industri berkenaan.

“Kita tidak mahu ada unsur broker atau orang tengah tetapi biarlah sektor ini disertai pemain tulen dalam usaha kementerian bergerak ke arah berdaya saing,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau mewakili menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan merasmikan Simposium Mineral Ke-10 Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Hotel Everly, di sini hari ini.

Berdasarkan laporan perangkaan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, ketika ini terdapat sejumlah 102 lombong di seluruh negara dengan lebih 4,000 orang pekerja yang direkodkan.

Majoriti industri itu meliputi bijih besi sebanyak 60 buah manakala selebihnya iaitu 12 lombong emas, 14 buah mineral kaolin serta masing-masing lapan untuk galian bauksit dan batu arang

Mengulas lebih lanjut, Rosli berkata, kajian terperinci mengenai isu perlombongan sudah pun bermula pada 2014 lalu namun belum membabitkan NR-REE yang dianggap sumber baharu.

“Saya telah pun bercakap sendiri dengan menteri semalam dan kementerian perlu bertindak segera mewujudkan jawatankuasa induk di peringkat kebangsaan bagi isu sebegini,” katanya.

Pembentukan organisasi berstruktur itu ujar beliau lagi, akan melibatkan pelbagai agensi dan kesemua setiausaha kerajaan negeri selain ditubuhkan juga sebuah jawatankuasa teknikal.

Keperluan tersebut amat penting kerana pada ketika ini segala urusan yang berkaitan dengan isu perlombongan termasuk NR-REE agak janggal apabila tiada punca kuasa untuk bertindak.

Beliau memberi contoh proses sokongan dokumentasi bagi pengeksportan pasir silika ke luar negara yang sering tidak konsisten disebabkan perubahan pegawai bertukar ke negeri lain.

Situasi itu mengakibatkan ia terpaksa diuruskan sendiri di peringkat ibu pejabat kementerian untuk tapisan manakala proses sokongan membabitkan kuasa Perdana Menteri dan Menteri.

Justeru, beliau melihat kepentingan jawatankuasa induk bagi penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) lebih seragam dan tidak perlu berubah apabila berlaku pertukaran pegawai.

“Isu ini malah dibangkit ketika pemukiman peringkat jabatan baru-baru ini di Langkawi, Kedah dan saya berharap, apabila dibentuk kelak, tiada lagi permainan broker yang terlibat,” katanya.

SOP berkenaan juga ujarnya, akan menjadikan aktiviti perlombongan dikawal selia lebih rapi di setiap negeri termasuk NR-REE yang perlu diuruskan secara cekap, lestari dan mampan. – UTUSAN

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input