JMG lakukan siasatan tragedi di Gunung Inas

GUnung Inas re 1536x864

BALING: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan melakukan siasatan susulan bagi mencari punca utama yang menyebabkan berlakunya banjir lumpur dan tragedi kepala air di Gunung Inas, di sini pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Geosains JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Azizan Ali berkata, proses tersebut akan dimulakan segera dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem).

“Hasil siasatan awal JMG adalah seperti yang diumumkan oleh Menteri (Tenaga dan Sumber Asli) sebelum ini dan siasatan susulan akan dimulakan dalam masa terdekat di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di Kampung Iboi tidak dijangka kerana Gunung Inas yang terletak berhampiran penempatan penduduk itu tidak berada dalam senarai kawasan berisiko.

Katanya, JMG kini sedang bekerjasama dengan Jupem bagi mencari punca yang menyumbang ke arah itu meskipun tragedi itu dikira sebagai bencana alam.

Takiyuddin turut berkata, siasatan yang sedang berjalan tidak memerlukan masa yang lama untuk selesai, lebih-lebih lagi kawasan tempat kejadian tidak luas.

Sementara itu, Azizan berkata, kedua-dua jabatan berkenaan akan melakukan tinjauan udara menerusi dron di Gunung Inas untuk mengenal pasti tempat-tempat yang dilihat berisiko untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Segala perkembangan siasatan akan kita maklumkan dari masa ke semasa kepada semua pihak kelak,” katanya. – UTUSAN

1000 Characters left


Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input