JUPEM lakukan pemetaan semula Gunung Jerai

YAN: Bentuk muka bumi kawasan sekitar Gunung Jerai di sini, yang berubah akibat kejadian bencana geologi dan aliran puing bulan lalu akan dipetakan sepenuhnya sebagai rujukan kepada agensi teknikal berkaitan.

Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan, Datuk Sr Dr Azhari Mohamed, berkata berdasarkan tinjauan udara dilakukan pihaknya, terdapat beberapa perubahan dikesan pada bentuk muka bumi terutama bahagian lereng gunung.

Katanya, peta baharu dan data geospatial itu diperlukan terutama kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang akan membuat penilaian semula kawasan bencana berkenaan.

"Data ini penting kerana ia menunjukkan perubahan yang berlaku secara fizikal kepada cerun gunung, sekali gus membantu agensi teknikal membuat analisa yang mungkin dapat membantu mengelak tragedi sama berulang.

"Bencana ini bukan disebabkan buatan manusia, tetapi lebih kepada faktor semula jadi kerana hujan lebat luar biasa menyebabkan air bertakung dalam tanah sehingga menyebabkan kegagalan cerun," katanya pada sidang media di Titi Hayun, hari ini.

Azhari berkata, bencana seperti itu tidak boleh dijangka, namun ia boleh dikawal antaranya melalui langkah mitigasi supaya penduduk menyedari amaran yang ditunjukkan pada kawasan gunung.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, berlaku fenomena kepala air dan banjir lumpur di Gunung Jerai menyebabkan lebih 1,000 rumah penduduk sekitar mengalami kerosakan, selain turut mengorbankan enam mangsa.

Sementara itu, Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, analisa pihaknya menggunakan peta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mendapati berlaku perubahan pada alur sungai yang berbengkang-bengkok di Gunung Jerai kini menjadi lurus.

"Pada peta asal kita tidak nampak alur sungai, tetapi pada peta baharu kita nampak alur sungai dengan jelas malah ada yang seluas sehingga 50 meter akibat kesan aliran puing.

"Begitu juga pada puncak gunung, sebelum ini tiada kesan parut atau tanah runtuh. Jadi semua data ini akan dianalisis bagi menentukan perubahan yang berlaku dan dijadikan rujukan pada masa depan," katanya. - BERITA HARIAN

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input