KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan sudah meluluskan cadangan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) yang akan dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Sebelum ini Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan sudah menerima permohonan tenemen mineral daripada PMBK untuk melaksanakan perlombongan di atas tanah milik perbadanan berkenaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihak berkuasa negeri juga mengkaji potensi untuk mewujudkan kilang di negeri ini bagi memproses NRREE.
"Kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi pembangunan industri NRREE selaras dasar di bawah kerangka kerjasama State Government Four (SG4) yang melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zubir Abu Bakar (Pas-Mengkebang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis.
Mohamed Fadzli memberitahu, sehingga kini beberapa penganjuran bengkel strategik dilaksanakan membabitkan agensi teknikal dan pihak industri.
Antara hasil utama pelaksanaan itu ialah penyediaan Roadmap Pembangunan Industri NRREE SG4 sebagai panduan hala tuju negeri SG4 dan penubuhan Jawatankuasa Kerja NRREE membabitkan aspek perundangan, kewangan dan teknikal.
"Selain itu terdapat semakan dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan persampelan dan perlombongan selain pelaksanaan lawatan kerja teknikal bagi penilaian potensi kawasan pembangunan," katanya.
Jelas beliau, turut dilakukan ialah sesi libat urus dan rundingan bersama pelabur serta pemain industri untuk memastikan pelaburan dibuat secara berhemah dan mampan.
Menjawab soalan tambahan Mohd Saizol Ismail (Pas-Salor), Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan hidrogen hijau atau 'green energy'.
Jelas beliau, beberapa pelabur menunjukkan minat bagi menjayakan projek hidrogen hijau di negeri ini yang selari dengan aspirasi nasional ke arah pelepasan karbon sifar bersih atau 'net zero emission'.
"Kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk merealisasikan potensi besar dalam industri ini," katanya.