Mengulas lanjut Rafizi berkata, kerajaan memutuskan bahawa industri REE perlu dibangunkan di Malaysia.
"Kalau tidak, mineral ini akan di eksport ke China, yang mana satu harga dia rendah. Keduanya ia akan habis dengan cepat dan ketiga kita akan hilang peluang untuk mendapatkan pelaburan ke dalam Malaysia yang berteknologi tinggi.
"Jadi, dinamik industri REE ini adalah negara China begitu dominan dengan perkara ini dan memang undang-undang negara China, dasar mereka ialah tidak membenarkan pemprosesan REE di luar negara.
"Jadi, ini adalah antara perkara-perkara yang perlu diuruskan oleh kerajaan dan saya ingat hasrat kerajaan untuk mewujudkan kilang pemprosesan di Malaysia itu akan berterusan dan menjadi agenda yang penting di peringkat negara dan rundingan-rundingan ini akan terus berlaku," katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, seminar ini bukan sekadar platform perbincangan, tetapi peluang untuk menyelaraskan matlamat ECER dan meneroka penyelesaian inovatif bagi menyahkarbonkan industri sukar dikurangkan, khususnya sektor REE yang semakin berkembang.
"Dengan insentif menarik, sokongan strategik ECERDC, dan kepakaran serta pandangan daripada pakar Jepun, ECER berada di landasan yang kukuh untuk menarik pelaburan berimpak tinggi," katanya.
Seminar hasil kerjasama dengan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) itu menekankan potensi besar Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai hab pembangunan REE, disokong oleh simpanan bernilai berbilion ringgit serta penyelesaian alam sekitar yang canggih, termasuk fasiliti Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCS) oleh PETRONAS yang memainkan peranan penting dalam usaha penyahkarbonan merentas pelbagai industri.
Dengan memanfaatkan kepakaran Jepun dalam tenaga bersih dan teknologi canggih, ECER bersedia untuk merealisasikan sepenuhnya nilai rantaian REE.
Sebagai pengguna utama REE dalam komponen kenderaan elektrik (EV) dan pembuatan berteknologi tinggi, Jepun menawarkan kerjasama strategik untuk mengoptimumkan sumber REE ECER serta memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan kritikal ini.