Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Menyokong Usaha Pemulihan Tapak Biosfera Tasik Chini

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) ingin merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang berhubung usaha pemuliharaan Tasik Chini pada 15 Jun 2021.

Penyertaan Malaysia di dalam program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO bermula pada tahun 2009 menerusi pengiktirafan Tasik Chini pada 26 Mei 2009 yang berkeluasan 6,922.97 hektar. Inisiatif ini melibatkan program saintifik antara kerajaan (inter-governmental) bagi memperbaiki hubungan antara manusia dan alam sekitar dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

KeTSA sebagai national focal point bagi program Man and the Biosphere (MAB) di bawah UNESCO, akan sentiasa menyokong usaha dan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera Tasik Chini. Di antara komitmen Kerajaan Negeri ialah, memperluaskan Hutan Simpan Chini kepada 6,000 hingga 7,000 hektar, mempergiatkan pemuliharaan kawasan Tasik Chini, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini serta mempertahankan status tapak biosfera UNESCO dilaksanakan.

Dalam usaha ini, KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha-usaha mempertahankan pengiktirafan ini. Dasar dan hala tuju telah ditetapkan dalam memastikan pengurusan dan pembangunan sumber-sumber asli dilaksanakan secara bertanggung jawab dan mampan.

Selaras dengan fungsi kawal selia ini, KeTSA tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan-kawasan pemeliharaan seperti Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan mahupun kawasan yang telah diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS). Bagi maksud ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan-kawasan berkenaan. Manakala kelulusan untuk kawasan selain daripada itu adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja yang selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna.

Diharapkan dengan adanya inisiatif daripada Kerajaan Negeri Pahang, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan. Pihak Sekretariat UNESCO Paris telah memberikan tempoh sehingga tahun 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini. Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara.

KeTSA akan terus memberikan kerjasama dan menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Pahang ini bagi memastikan khazanah negara yang bernilai tinggi ini terpelihara demi faedah generasi masa kini dan akan datang.

 

YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Hj Nasarah
Menteri Tenaga dan Sumber Asli

20 Jun 2021

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input