Terengganu Tubuh Majlis Mineral REE Lindungi Kedaulatan

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Kerajaan negeri sentiasa memandang kehadapan dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE)  di Terengganu dengan menubuhkan  Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengannya. 

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata  ia sebagai memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri serta memainkan peranan  dalam menentukan dasar dan halatuju pembangunan berkaitan REE.

"Fungsi Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu adalah mengadakan perbincangan royalti, pembangunan peluang perniagaan, projek dan pembahagian peluang-peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri.

"Selain itu, ia juga menumpukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pembangunan modal insan dan ekonomi bagi rakyat  termasuk pengagihan kontrak secara berpusat (centralized) kepada kontraktor yang berdaftar demi memastikan kesinambungan peluang perniagaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambahnya, Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) dinaungi oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan Menteri Besar.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, Unjuran Potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy of Science Malaysia (ASM).

“Kajian yang dilakukan adalah terhad kepada Kawasan tanih luluhawa granit yang terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 1,437,500.00 ekar dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 juta tan,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan bagi kumpulan kerja teknikal ke kawasan perlombongan REE di Gerik Perak pada bulan Mac 2023 bagi melihat aktiviti perlombongan REE secara lebih dekat. 

“Lawatan berkaitan REE juga telah diadakan di Kilang Lynas, Gebeng Kuantan di mana kilang tersebut merupakan kilang memproses REE yang diimport dari negara luar (Australia),”ujarnya.

Dalam masa sama katanya, dasar berkaitan 'Standard Operating Procedure' (SOP) perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) Negara sedang dirangka di peringkat Persekutuan untuk dijadikan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input