Geopark realisasikan potensi pelbagai aktiviti pelancongan

Ipoh: Pemeliharaan khazanah warisan alam dan budaya setempat antaranya menerusi pewartaan kawasan Geopark Lembah Kinta dilihat membolehkan usaha dilakukan secara lestari yang mampu merancakkan lagi rangkaian ekopelancongan sedia ada.

Pegawai Geopark Lembah Kinta, Ain Maisyara Yazrol, berkata oleh sebab itu Geopark Lembah Kinta diletakkan sebagai agensi peneraju berdasarkan flagship atau inti pati ‘Ekonomi Pengalaman’ dalam mencapai agenda pelan Perak Sejahtera 2030.

Kawasan Geopark Lembah Kinta berkeluasan 1,952 hektar merangkumi daerah Kinta dan Kampar kini diletakkan di bawah pengurusan serta pemantauan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPK) dan sudah diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan pada 2017.

Ain Maisyara berkata, geopark bukan sekadar menumpukan kepada pemeliharaan, sebaliknya turut merangkumi pemuliharaan serta pemberian semula kepada komuniti setempat, khasnya dalam sudut penjanaan sosioekonomi kepada komuniti melalui sektor pelancongan.

Miliki pelbagai potensi

Katanya, kawasan Geopark Lembah Kinta yang kaya dengan warisan geologi, biologi, warisan dan sejarah di bawah seliaan perbadanan dilihat mampu merealisasikan potensi besar aktiviti huluan dan hiliran pelancongan dalam mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan rakyat di Perak.

“Kita dapat pulihara dan menjana ekonomi kepada komuniti memandangkan tapak geotapak yang menarik dan berada dalam kawasan geopark boleh dibangunkan dalam sektor pelancongan.

“Ini bertepatan dengan iltizam kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini, sekali gus komuniti akan dapat manfaat itu.

“Ia dapat direalisasikan melalui apa yang kita sebut sebagai geotrail (jejak geo) iaitu pakej yang selain membabitkan lawatan ke geotapak, ia turut membabitkan persinggahan ke Tapak Biodiversiti, Tapak Warisan/budaya/sejarah serta Tapak Produk,” katanya ketika ditemui BH.

Ain Maisyara berkata, ketika ini terdapat 22 geotapak tersenarai di Geopark Lembah Kinta, termasuk empat yang baru diwartakan sejak 2021 iaitu Tapak Geoarkeologi Gunung Masoorat, Tapak Bencana Geologi Gunung Cheroh, Geotapak Kars Taman Saikat (Gunung Rapat) dan Geotapak Dolina Tasek Cermin (Gunung Rapat).

Bangun projek bermanfaat

Menurutnya, PTNPK selaku badan pengurusan Geopark Lembah Kinta bertindak menyelia dan menyelaras jawatankuasa dianggotai pelbagai agensi yang terbabit sama dengan pembangunan Geopark Lembah Kinta seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Tourism Perak, dan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Daerah Kampar.

Beliau berkata, pihaknya juga tiada halangan untuk membenarkan projek bersesuaian dalam kawasan sesuatu geotapak dibangunkan oleh agensi lain yang tidak menganggotai jawatankuasa berkaitan Geopark Lembah Kinta selagi mana memberi manfaat serta tidak mengganggu atau menjejaskan geotapak itu.
“Umpamanya seperti projek pertanian bandar yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeei Perak (Perak SADC) dalam beberapa kawasan berdekatan gua batu kapur yang juga adalah geotapak, kita ambil maklum mengenainya.

“Harus difahami bahawa PTNPK tidak memiliki geopark mahupun geotapak, sebaliknya sesuatu geotapak adalah dimiliki sama ada tapak persendirian atau juga PBT.

“Jadi terpulang kepada badan yang mempunyai hak milik kawasan terbabit kerana ia boleh dikonsesikan kepada operator,” katanya.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input