Kenyataan Media Maklumbalas Berkaitan Dengan Penerokaan Dan Pengeluaran Rare Earth Elements (REE) Di Kedah

Merujuk kepada laporan berita yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada 17 Januari 2023 bertajuk ‘Kementerian diminta campur tangan dalam penerokaan REE di Kedah’, berita tersebut membangkitkan 2 (dua) isu berkaitan dengan REE di Negeri Kedah iaitu mengenai penerokaan REE oleh Menteri Besar Kedah Incoporated (MBI Kedah) dan kes kecurian REE di Kawasan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

PENEROKAAN REE OLEH MBI KEDAH

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengambil maklum akan pengumuman MBI Kedah bahawa pihaknya telah menandatangani MoU bersama Jangka Bakat Minerals dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. bagi menjalankan aktiviti penerokaan REE yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah.

Seperti yang dimaklumi, aktiviti penerokaan sumber mineral adalah terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri dan permohonan untuk menjalankan aktiviti tersebut diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan JMG tidak terlibat dalam membuat sebarang keputusan bagi permohonan tersebut.

Walau bagaimanapun, JMG selaku agensi teknikal dalam kawal selia perlombongan telah dirujuk oleh MBI Kedah dan rakan-rakan strategiknya semasa sesi pembentangan khusus mengenai kaedah cari gali yang akan digunakan dalam Lesen Mencarigali Mineral Lanthanide di Sik, Kedah. Ulasan teknikal akan dikemukakan terhadap cadangan aktiviti penerokaan tersebut selaras dengan dasar dan perundangan semasa yang berkuat kuasa. Secara amnya, kawasan penerokaan sewajarnya terletak dalam kawasan yang dibenarkan bagi menjalankan aktiviti perlombongan mineral demi menjaga kelestarian alam sekitar dan mengelakkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

ISU KECURIAN REE DI KAWASAN BUKIT ENGGANG, SIK, KEDAH

Berhubung dengan isu kecurian REE di Sik, Kedah, penyiasatan juga telah dijalankan oleh JMG di tapak berkenaan bagi mengenal pasti lokasi, kaedah perlombongan dan bukti-bukti kecurian lapangan. JMG telah menyiapkan kertas siasatan mengenai isu kecurian REE ini untuk mengambil tindakan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994. Kertas siasatan ini telah diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang, NRECC untuk arahan lanjut.

JMG menyeru semua Pihak Berkuasa Negeri supaya menjalankan pemantauan yang berterusan terhadap sumber-sumber mineral agar tidak berlaku kecurian dan penerokaan haram. Semua pihak berkaitan juga dinasihatkan untuk mematuhi semua perundangan semasa dan SOP NR-REE Malaysia yang bakal dimuktamadkan. SOP NR-REE Malaysia ialah dokumen umum yang menjadi panduan dan rujukan bagi Pihak Berkuasa Negeri untuk membangunkan SOP NR-REE Negeri masing-masing. Perkara penting dalam SOP NR-REE ini ialah kawalan di peringkat eksplorasi, perlombongan dan pemulihan tapak dengan mengambil kira semua faktor seperti risiko pencemaran terhadap alam sekitar, sumber air permukaan, sumber air bawah tanah, konflik antara manusia dan hidupan liar dan juga penjanaan ekonomi setempat. SOP ini turut menekankan perancangan dan penilaian yang teliti dilakukan agar tiada kesan buruk terjadi kepada alam sekitar dan masyarakat setempat.

Dalam membangunkan SOP NR-REE Negeri, Pihak Berkuasa Negeri perlu membuat penyesuaian sewajarnya agar ia selaras dengan keperluan perundangan di peringkat negeri seperti Enakmen Mineral Negeri.

 

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia

28 Januari 2023

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input