Bahaya Aliran Puing dan Kepala Air

Sejajar dengan pengumuman PMX – Dato Seri Anwar Ibrahim pada 11 September 2023 tentang penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara atau National Geological Disaster Center (NGDC), mari kita menyemak tentang apa itu aliran puing dan kepala air.

Umum diketahui kejadian aliran puing yang berlaku di Gunung Jerai, Yan pada 18 Ogos 2021 telah meragut 6 nyawa dan turut menjejaskan 1000 keluarga serta jumlah kerugian yang dianggarkan mencecah RM75 juta. Manakala kejadian aliran puing yang berlaku di Kg. Iboi, Baling pada 4 Julai 2022 telah meragut nyawa tiga sekeluarga dan anggaran kerosakan sebanyak RM28 juta turut menggemparkan seantero Malaysia justeru meletakkan JMG sebagai wadah utama info geologi kepada masyarakat.

Aliran puing ialah sejenis bencana geologi tanah runtuh yang bergerak sangat pantas dalam medium berair di mana bahan runtuhannya merupakan puing yang longgar terdiri daripada campuran tanah, batuan, sisa pokok dan bahan puing yang lain. Ia boleh berlaku di mana-mana sahaja samada sungai dan cerun bukit.

Lakaran skematik 3D zon anatomi aliran puing

Aliran puing melibatkan tiga (3) mekanisma utama iaitu:

  1. Tanah runtuh di kawasan bercerun curam (dicetus oleh hujan lebat dan tanah tepu air).
  2. Aliran lumpur dan puing sepanjang alur dari kawasan pergunungan hingga ke kaki gunung.
  3. Longgokan puing dan lumpur di kaki bukit dan kawasan landai di sekitarnya.

Manakala kejadian kepala air pula merujuk kepada limpahan air deras kawasan sungai dengan tiba-tiba. Kebiasaannya akibat hujan lebat di kawasan hulu sungai. Paras air boleh naik sehingga 2 meter dalam masa 5-10 minit.

‘Scar’ tanah runtuh yang berlaku di Gunung Jerai, Kedah

Tanda awal kepala air yang boleh diperhatikan ialah bunyi seperti letupan kuat sama ada disebabkan oleh:

  • akar pokok tidak stabil
  • tanah pecah atau
  • pokok tumbang 

Dan berlakunya perubahan pada air sungai seperti 

  • warna menjadi gelap
  • berbuih dan meningkat secara tiba-tiba
  • daun kering, ranting kayu banyak pada permukaan
  • sampah sarap berkumpul di satu tempat

Secara tuntas, kita boleh bezakan 2 kejadian ini dengan bahan yang dibawa dan juga skala kerosakan. Kedua-dua kejadian ini boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Namun, bagi kejadian aliran puing seperti kes-kes yang dipetik di atas lebih dahsyat skala kerosakannya sehingga boleh mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. 

Rumah yang musnah akibat aliran puing di Jalan Batu Hampar, Yan

Orang awam dinasihati untuk berjaga-jaga ketika berada di kawasan Taman Eko-Rimba dan Hutan Simpan terutama semasa musim hujan lebat. Menjelang musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut kelak, marilah kita sama-sama berjaga-jaga dan memberikan kesedaran kepada awam tentang bahayanya aliran puing dan kepala air.

Rujukan:

  1. Deraf Garis Panduan Kajian Forensik dan Pemetaan Geologi Kejuruteraan Aliran Puing di Malaysia, JMG.GP.31
  2. Infografik Awani bersumberkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM)

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input