Siaran Media Langkah Mitigasi Segera Atasi Banjir Puing di Bukit Tinggi, Bentong

2023 11 30 10 55 23

Kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta pembersihan sisa batuan dan enapan di kawasan bencana dilaksanakan segera oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), susulan daripada kejadian banjir puing yang berlaku di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

Tindakan segera ini dijangka mengambil masa lebin kurang satu (1) bulan kerana ia melibatkan pengalihan batuan besar dan semua enapan di dalam aliran sungai.

Banjir puing yang berlaku pada jam 8.00 malam, 25 November 2023 itu disebabkan oleh hujan selama tiga (3) jam dalam keamatan sederhana, iaitu antara 23.5mm hingga 53mm, yang menyebabkan banjir puing di kawasan sekitar. Beberapa buah rumah, premis perniagaan dan jalan raya berhampiran dinaiki air dengan purata kedalaman kawasan 0.3-0.6m.

Hujan lebat juga menyebabkan hakisan dan ketidakstabilan di bahagian hulu saliran, seterusnya menyumbang kepada kejadian kepala air yang membawa batu-batu dan enapan hingga menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat dan aliran Sungai Tanglir melimpah ke jalan.

Aktiviti guna tanah di bahagian hulu saliran berkemungkinan antara punca yang menyumbang kepada kadar hakisan tanah yang tinggi melalui aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian dan penggunaan sistem saliran tanaman yang tidak sesuai berdasarkan kepada bentuk dan kecerunan.

Berdasarkan semakan dan tinjauan awal oleh Pejabat Hutan Daerah Bentong menggunakan dron, terdapat satu runtuhan tanah dalam Hutan Simpan Bukit Tinggi di tepi anak Sungai Tanglir. Kawasan sekitar anak Sungai Tanglir pernah diteroka secara haram untuk aktiviti pertanian seluas lima (5) ekar sebelum ini tetapi telah diambil tindakan penguatkuasaan pada bulan Mac 2023. Kawasan tersebut telah dibuat penanaman semula pokok dan pada masa ini, semakan semula sedang dibuat untuk mengesansekiranya terdapat kawasan baru yang diteroka berhampiran kawasan kejadian.

Ketika ditemui semasa lawatan kerja beliau pada pagi Ahad, Menteri NRECC YB Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah mitigasi jangka panjang turut dicadangkan, termasuk pelaksanaan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) daerah Bentong yang meliputi kawasan bencana tersebut.

Sementara itu, bagi tindakan segera, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan mengenal pasti serta menandakan Zon Bahaya serta Zon Kawalan di tapak kejadian bagi tujuan membantu agensi responder (agensi tindak balas) serta agensi-agensi pelaksana dalam menjalankan mitigasi cerun, mengenal pasti elemen berisiko serta ancaman berlakunya runtuhan susulan.

Pihak JMG juga akan menjalankan pemetaan tapak bagi menandakan cerun-cerun yang yang telah runtuh dan berpotensi runtuh berdasarkan tanda-tanda ketidakstabilan serta mengenal pasti faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian aliran puing tersebut.

KEMENTERIAN SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM (NRECC)

27 NOVEMBER 2023

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input