Kenyataan Media : Ulasan Terhadap Laporan Berita 'Perlombongan Ree Tidak Terkawal Berpotensi Sebabkan Runtuhan Tanah'

Mengulas mengenai laporan media yang diterbitkan oleh Berita Harian, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) merupakan sumber mineral baharu yang berpotensi untuk dibangunkan. Sehubungan itu Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebagai agensi pemantau utama bagi mengawal selia pelaksanaan projek bagi memastikan industri NR-REE dibangunkan secara terkawal, NRECC telah menyediakan dokumen Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE Negeri Perak dan projek perintis ini adalah di Mukim Kenering, Hulu Perak.

Untuk makluman, teknologi perlombongan NR-REE dengan kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) melibatkan pembukaan tanah dan penebangan pokok yang minima. Kaedah ini melibatkan penggunaan larutan ammonium sulphate berkepekatan rendah yang disuntik ke dalam tanah bagi mengekstrak NR-REE melalui tindak balas tukar ganti ion.

Kemudian ia disalur keluar melalui sistem perpaipan dan dikumpulkan di kaki lereng bukit untuk proses seterusnya. Proses tukar ganti ion ini tidak akan menyebabkan gangguan kestabilan dan daya kohesif tanah.

Kaedah perlombongan ISL yang dijalankan di kawasan lempung jerapan ion mensyaratkan ia hanya boleh dilaksanakan bagi longgokan REE yang terletak di atas aras air bawah tanah. la bagi menjamin keberkesanan proses larut resapan yang disasarkan dan untuk mengelak berlakunya pencemaran ke atas air bawah tanah.

Sebagai langkah kawalan dan tebatan kepada pencemaran air bawah tanah, telaga pemantauan dibina di beberapa lokasi strategik yang dikenalpasti bagi mengesan kemungkinan berlakunya ketirisan. Malah bagi mengawal pencemaran pula, satu prosedur khusus telah digariskan untuk menangani masalah tersebut seperti kaedah flushing bagi membendung pengaliran lanjut bahan cemar.

Manakala bagi kawalan potensi kegagalan cerun, pihak JMG sentiasa memantau dan mengarahkan mitigasi segera seperti penutupan cerun terdedah, pembinaan berm dan penyediaan sistem saliran yang sempurna.

Kesimpulannya perlombongan NR-REE yang menggunakan kaedah ISL merupakan kaedah terkini yang mampan di mana impanya terhadap alam sekitar boleh dikawal, kos operasi yang rendah dan tahap keselamatan pekerja yang baik. Hasil pengauditan yang dijalankan mendapati projek perintis ini telah mematuhi dengan sebaiknya kehendak di dalam SOP dan keperluan agensi-agensi teknikal terlibat.

KETUA PENGARAH
JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA
14 OKTOBER 2023

 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input