Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Portal Rasmi)

Dasar Privasi

Dasar Privasi

splwpk-online-e-participation splwpk-procurement splwpk-publicising splwpk-electronic-archive splwpk-online-services Laporan Tahunan JMG 2023 (PDF)
W3C Accessibility
splwpk-sitemap
Multi-language support (BM/EN)
MyHRMIS Mobile splwpk-broadcast splwpk-about-us splwpk-news splwpk-faq splwpk-client-charter splwpk-contact-details
Image

Soalan Lazim

Image

Hubungi Kami

Image

Aduan dan Maklum Balas

Image

Peta Laman

Berita & Artikel

Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains (MINGEOGIS) - MyGEMS

Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains (MINGEOGIS) - MyGEMS
Paparan “Map Services” MyGEMS JMG - senarai perkhidmatan peta interaktif yang boleh diakses pengguna GIS.

Abstrak: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah selesai membangunkan Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains (MINGEOGIS) atau nama komersialnya MyGEMS yang berfungsi sebagai bank data nasional maklumat mineral dan geosains berasaskan geospatial yang menyokong pengurusan lestari sumber bumi negara. Berpaksikan kepada rangka dasar seperti Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 dan matlamat SDG 2030, inisiatif ini dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan digital yang mampan serta sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. MyGEMS menyediakan infrastruktur ICT dan mekanisme perkongsian data pantas melalui teknologi pengkomputeran awan MyGovCloud, sekali gus meningkatkan ketersediaan, kebolehcapaian serta keselamatan data geospatial mineral dan geosains. Sistem ini merangkumi sembilan (9) kluster data geospatial dan sepuluh (10) modul aplikasi merentas geoportal, katalog metadata, peta interaktif, story map, dashboard dan modul aduan bencana; keseluruhannya disokong oleh sasaran output MyGEMS Fasa 1 yang meliputi satu (1) sistem aplikasi, sembilan (9) story map, sembilan (9) peta interaktif dan sepuluh (10) dashboard. Keupayaan analitik MyGEMS berjaya memacu amalan Keputusan Berpandukan Data/Perancangan Berasaskan Bukti yang kritikal bagi perancangan pembangunan ekonomi, pelancongan, mitigasi bencana geologi serta pemuliharaan warisan geologi; seterusnya membantu kerajaan membuat keputusan tepat, pantas dan berkesan ke arah kesejahteraan rakyat. Melalui penyediaan produk geospatial yang tepat, terkini dan mudah dikongsi, MyGEMS juga berfungsi sebagai pemangkin utama untuk pemantauan kelestarian eksplorasi mineral dengan kawal selia perlombongan dan pengkuarian, pengurusan air bawah tanah, survei geofizik, analisis makmal geokimia dan geologi marin yang lestari, pengurangan risiko bencana geologi serta adaptasi perubahan iklim, dan penggalakan inovasi ekonomi hijau melalui akses terbuka kepada data strategik. Dengan pendekatan ini, MyGEMS telah mentransformasikan maklumat geospatial menjadi pemangkin kelestarian negara dengan menyatukan dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar demi pembangunan yang mampan.

Kata Kunci: mineral, geosains, bencana geologi, data geospatial, MyGEMS

  1. Pengenalan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mula menggunakan Sistem Maklumat Mineral dan Geosains (MINGEOSIS) sejak 2008 untuk menyimpan data mineral dan geosains dalam format tekstual. Selepas hampir dua dekad, sistem ini menghadapi pelbagai kekangan antaranya infrastruktur usang yang sukar diselenggara, pangkalan data berdiri sendiri serta ketiadaan perkhidmatan web menyebabkan perkongsian maklumat lambat dan tidak menyeluruh serta pangkalan data sedia ada tidak mesra pengguna dan sukar untuk menghasilkan peta tematik yang merupakan produk utama jabatan. Di samping itu, perkongsian data dan maklumat secara real-time tidak dapat dilaksanakan.

Kekangan format ini pula menghalang perkongsian data secara masa nyata menyebabkan integrasi menjadi rumit kerana tidak mengikut piawaian MS1759 dan Standard Metadata Geospatial Malaysia (MGMS), sekali gus menjejaskan kecekapan membuat keputusan dalam perancangan pembangunan dan penggubalan dasar. Seiring aspirasi Revolusi Perindustrian 4.0 dan tumpuan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) terhadap infrastruktur digital, JMG perlu mewujudkan platfom geospatial menyeluruh dan sepusat yang selamat, bersepadu dan mudah dicapai bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kerajaan digital.Justeru, JMG telah membangunkan Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains (MINGEOGIS) @ MyGEMS menggunakan perkhidmatan awan kerajaan, MyGovCloud. Sistem baharu ini mengintegrasikan sembilan (9) kluster data tematik iaitu geologi asas, bencana geologi, geologi warisan, air bawah tanah, geologi marin, sumber mineral, geofizik, lombong dan kuari serta makmal geokimia, dan kesemuanya berada dalam satu pangkalan data enterprise. Kluster Geologi Asas memfokuskan maklumat litologi, stratigrafi dan struktur geologi termasuk garisan sesar sebagai rujukan geologi kebangsaan; Bencana Geologi merekod serta memetakan kejadian seperti tanah runtuh dan gempa bumi bagi amaran awal, penilaian risiko dan respons pantas; Geologi Warisan mendokumentasikan geotapak bernilai saintifik, pendidikan dan geopelancongan beserta status pemuliharaan; Air Bawah Tanah menyelaras data taburan telaga, paras dan kualiti air serta penetapan zon berpotensi sebagai sumber air alternatif; Geologi Marin memprofilkan ciri pesisir dan dasar laut untuk pengurusan bersepadu zon pantai serta perancangan guna ruang marin; Geofizik memusatkan cerapan bawah permukaan (contohnya seismik, graviti dan magnet) bagi penentuan keadaan geologi tapak, sokongan kajian kejuruteraan dan eksplorasi; Sumber Mineral menginventori longgokan mineral berdaya ekonomi untuk perancangan eksploitasi secara mampan serta sumbangan kepada hasil negara; manakala Lombong dan Kuari merekod lokasi, komoditi dan status operasi/pemulihan sebagai asas perancangan guna tanah, pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan dimana kesemuanya saling melengkapi bagi menyokong perancangan berasaskan bukti dan keputusan berpandukan data di peringkat nasional. Pembangunan MINGEOGIS juga diselaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025, Pelan Strategik Pendigitalan JMG 2021-2025 dan Rangka Tindakan Pengurusan Data Geospatial Bersepadu JMG 2022, bagi memastikan tadbir urus data mematuhi piawaian nasional .

Objektif utama MyGEMS adalah menjadi bank data nasional berbentuk geospatial bagi maklumat mineral dan geosains dan sumber mineral negara, menggantikan sistem berasaskan teks yang usang; menyediakan capaian pantas dan bersepadu kepada produk geospatial JMG kepada pembuat dasar, penggiat industri, penyelidik dan orang awam; mematuhi keperluan perundangan melalui tadbir urus data yang berintegriti dan menyokong transformasi digital sektor awam melalui penggunaan cloud, analitik masa nyata dan dashboard interaktif.Dengan pelaksanaan MyGEMS, JMG bersedia memacu agenda “Geospatial Pemacu Kelestarian Negara”, memastikan data mineral dan geosains yang tepat, boleh dicapai, selamat dan terus menyokong pembangunan sosio-ekonomi, mitigasi bencana geologi, pengurusan sumber alam dan pemuliharaan warisan geologi Malaysia.

  1. Inovasi / Idea

Keaslian Idea: MyGEMS mengelaskan kepada sembilan (9) kluster data mineral dan geosains yang dahulunya berasingan ke dalam satu (1) pangkalan data berpusat, menjadikannya repositori pertama seumpamanya di Malaysia untuk sektor ini. Ianya selari dengan peranan JMG yang merupakan Agensi Tunjak dan Data Custodian bagi data geospatial mineral dan geosains negara. Mulai tahun 2025 MyGEMS sebagai bank data nasional mineral dan geosains negara telah dipilih sebagai National Critical Information Infrastructure (NCII) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri. Pengiktirafan ini menunjukkan MyGEMS merupakan sistem yang kritikal merangkumi maklumat aset elektronik, rangkaian, kemudahan perkhidmatan dalam persekitaran ICT yang penting dalam negara dan memberi impak dalam keselamatan dan pertahanan negara, kestabilan ekonomi dan imej negara.

Kreativiti Penyelesaian: Sebanyak sepuluh (10) story map bertema, lapan (8) peta interaktif dan sepuluh (10) papan pemuka (dashboard) infografik disiapkan menggantikan laporan statik dengan naratif visual serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masa nyata untuk semua pemegang taruh; kandungan dan indikator ini dikemas kini secara berkala setiap enam (6) bulan bagi menjamin ketepatan maklumat. Modul aduan awam membolehkan orang ramai melapor kejadian seperti tanah runtuh, gempa bumi terus ke geoportal yang membolehkan input diserap secara automatik ke sistem pemantauan risiko selain dapat memuat-naik lokasi kejadian bencana beserta gambar kejadian. Kaedah ini meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan sepertimana sebelum ini aduan perlu dibuat secara bersemuka atau panggilan telefon. MyGEMS menyediakan kemudahan e-permohonan data geospatial (permohonan data awam) yang menggantikan tatacara secara manual berasaskan emel, sekaligus mempermudahkan proses permohonan, semakan, kelulusan serta perkongsian data secara lebih tersusun dan telus. Sebanyak 377 MB data geospatial JMG telah dikongsi secara G2G, G2E, G2B dan antarabangsa dengan nilai setara RM92,940 bagi tahun 2024 dengan 94 permohonan. MyGEMS juga menyokong pendaftaran serta penjejakan permohonan analisis makmal secara dalam talian sedangkan sebelum ini proses analisis dilaksanakan secara manual dengan borang fizikal. Penghantaran sampel fizikal kekal mengikut SOP makmal dan keperluan ujian. Dengan adanya modul makmal ini keputusan analisis makmal boleh dimuat-turun melalui sistem dan dapat diakses oleh individu yang mempunyai kebenaran sahaja.

Penggunaan Teknologi: Platform dibina sepenuhnya menggunakan perkhidmatan MyGovCloud sektor awam, mematuhi garis panduan keselamatan siber di samping menawarkan penskalaan anjal dan sandaran pemulihan bencana geologi. Gabungan ArcGIS Enterprise Advanced, Microsoft SQL Server dan Web Application Firewall menyediakan perkhidmatan peta, API serta SSO yang kukuh. Kesemua dataset dipiawaikan selaras dengan MS1759 dan MGMS serta unjuran peta bagi data geospatial enterprise MINGEOGIS menggunakan GDM2000 MRSO bagi Malaysia dan GDM2000 BRSO bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, memastikan keseragaman metadata dan kebolehoperasian rentas agensi. Teknologi geospatial yang digunakan pada MyGEMS adalah yang terkini, seiring dengan agensi kerajaan yang lain dan memudahkan kearah perkongsian data geospatial.

Aspek Pengukuhan Inovasi: Fasa pengembangan MyGEMS merangkumi visualisasi 3D berasaskan Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR) bagi meningkatkan kefahaman risiko geologi di lapangan serta perancangan tapak mineral. Pendekatan cloud, data-as-a-service dan analitik masa nyata menyokong aspirasi Revolusi Industri 4.0 serta agenda transformasi digital kerajaan. Gabungan keaslian konsep, reka bentuk kreatif berasaskan penceritaan data, penggunaan teknologi awan GIS terkini dan perancangan ke hadapan (VR/AR) meneguhkan kedudukan MyGEMS sebagai inovasi geospatial utama yang memacu kelestarian negara. MyGEMS fasa 1 telah memulakan langkah berkaitan IoT bersepadu yang membolehkan penggabungan, transformasi, dan penukaran data secara langsung dalam format yang selaras. Data yang digunakan kemudiannya disiarkan ke dalam Portal MyGEMS. Komponen interpritasi dan prediction akan membantu JMG dalam meramal (forecasting) perkara yang berkaitan dengan penerokaan air bawah tanah dan tanah runtuh. Seterusnya dari segi GEOAI dimana penggunaan teknologi Artificial intelligence (AI) dalam mengautomasikan kerja-kerja pengesanan anomali geologi yang kritikal dalam imej satelit, dron, dan lidar. Selain data permukaan, MyGEMS turut mengumpul data sub permukaan yang memfokus kepada visualisasi data lubang gerudi dalam bentuk 2D dan 3D dalam satu aplikasi web untuk memudahkan pemahaman sub permukaan, serta keupayaan untuk menjana laporan dan keputusan dengan cekap meningkatkan keupayaan JMG untuk menyebarkan maklumat penting mengenai sub permukaan.

  1. Impak

Skop dan Saiz Impak: Pelaksanaan MyGEMS merangkumi keseluruhan rantaian maklumat mineral dan geosains negara melalui sembilan (9) kluster data tematik menerusi sepuluh modul aplikasi teras yang meliputi geoportal, katalog metadata, dashboard, analisis makmal dan modul aduan awam. Bagi tujuan penyebaran maklumat, sistem menyediakan sepuluh (10) story map, sepuluh (10) dashboard interaktif serta lapan (8) peta interaktif mengikut kluster data masing-masing secara dinamik kepada pengguna dalaman dan awam. Jika sebelum ini maklumat mineral dan geosains hanya boleh dirujuk menerusi laporan dan peta yang diterbitkan oleh jabatan dalam format pdf dan imej statik dan dalam bentuk hardcopy di perpustakaan. Kini, dengan adanya MyGEMS maklumat tersebut boleh diakses pada bila bila masa, tidak mengira lokasi dan dengan kata lain maklumat dihujung jari khususnya peta interaktif yang mesra pengguna tanpa memerlukan kemahiran geospatial. Skala capaian yang besar menempatkan MyGEMS sebagai hab geospatial pertama khusus untuk mineral dan geosains di Malaysia, dengan jumlah data semasa 0.192 TB (setakat Mei 2025).

Relevansi kepada Keperluan Semasa: Platform ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan MyGovCloud sektor awam, selaras dengan garis panduan keselamatan siber dan dasar pendigitalan kerajaan, sekali gus memastikan ketersediaan tinggi serta perlindungan data yang terjamin. Di samping itu, Modul Pelaporan Geobencana Awam (crowdsourcing) membolehkan orang ramai melaporkan insiden tanah runtuh atau bencana geologi secara masa nyata, mempercepatkan tindak balas dan meningkatkan kebolehpercayaan serta kebolehkesanan data lapangan. Seiring itu, penggunaan perisian GIS terkini MyGEMS menyokong aliran kerja penawanan data field-to-finish yang merangkumi perancangan tugasan, penawanan/pengambilan data bergeotag (dalam talian/luar talian) serta penerbitan pantas sebagai lapisan peta dan dashboard. Peranan MyGEMS sebagai rujukan geospatial negara terbukti semasa geobencana di Segamat, Johor, yang mencetuskan perhatian nasional. Maklumat lokasi epicenter yang direkod oleh sistem MyGEMPA METMalaysia telah diintergasi ke Peta Interaktif yang boleh dirujuk dan diakses oleh agensi berkepentingan seperti Pejabat Daerah Segamat, NADMA, METMalaysia dan para pimpinan masyarakat setempat dan orang awam. Melalui paparan ini, orang awam boleh melihat kedudukan pusat gempa yang berkaitan dengan pengaruh sistem tektonik serantau, khususnya lanjutan sesar yang menunjukkan tanda pengaktifan semula.

Sumbangan Praktikal kepada Organisasi: MyGEMS telah meningkatkan kecekapan pengurusan data, pendigitalan maklumat dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan melalui integrasi proses rantaian penuh (end-to-end). Penggunaan infrastruktur awan turut mengurangkan kos penyelenggaraan peralatan ICT, yang dahulunya menggunakan infrastruktur setempat yang lapuk, usang dan end of life. Dengan kata lain dengan adanya MyGEMS tahap kemahiran penggunaan data dan aplikasi geospatial mineral dan geosains di kalangan kakitangan jabatan telah berjaya ditingkatkan. Sebuah kiosk MyGEMS khas telah ditempatkan di Pejabat Ketua Pengarah JMG bagi memaparkan papan pemuka eksekutif, peta interaktif dan makluman geobencana secara masa nyata sebagai sokongan kepada mesyuarat pengurusan, taklimat dasar dan pemantauan operasi harian.

Sumbangan kepada Sektor dan Masyarakat Umum: MyGEMS menyediakan akses awam secara percuma tanpa keperluan pendaftaran bagi kandungan terbuka, manakala set data terhad/berklasifikasi hanya boleh dicapai melalui pengesahan pengguna mengikut peranan serta kelulusan Jabatan.Dengan data berpiawai dan perkhidmatan web terbuka, MyGEMS memudahkan perkongsian merentas agensi menggunakan map service dan kaedah portal to portal, sekali gus memperkukuh penyelarasan dasar pembangunan dan pemuliharaan sumber bumi. Bagi pengguna awam, akses kepada maklumat terperinci yang digabungkan dengan fungsi aduan awam dapat menyokong perancangan berasaskan bukti (Evidence-Based Planning) dan keputusan berpandukan data (Data-Driven Decision) dalam isu bencana geologi, perlombongan lestari serta geopelancongan. Secara keseluruhannya, MyGEMS bukan sekadar menaik taraf sistem sebelumnya, tetapi menjadi pemangkin ekosistem geospatial nasional yang menyeluruh, terjamin dan berdaya saing. Penggunaan MyGEMS memberi manfaat jelas kepada orang awam dengan menyediakan rujukan geospatial rasmi dan berwibawa. Platform ini mengurangkan kebergantungan terhadap maklumat tidak sahih daripada akaun media sosial individu yang tidak berautoriti, sekali gus menggalakkan rujukan kepada agensi bertanggungjawab terutama semasa insiden seperti gempa bumi di Segamat, kejadian lubang benam di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur, dan letupan gas di Putra Heights.

  1. Kelestarian

Kelangsungan Jangka Panjang, Penjimatan Sumber dan Kos: MyGEMS dihoskan sepenuhnya pada MyGovCloud selaras Dasar Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam; pendekatan “cloud first” ini menyediakan penskalaan anjal serta perlindungan siber bertaraf kerajaan, sekali gus menyingkirkan kebergantungan kepada perkakasan usang di premis sendiri.Konsolidasi sembilan (9) kluster data ke dalam pangkalan data berpusat dan migrasi pusat data ke MyGovCloud membolehkan Jabatan menjimatkan kos penyelenggaraan peralatan ICT serta utiliti.

Tadbir Urus Data dan Keselamatan serta Penjajaran Dasar Pembangunan Mampan: Semua set data dipiawaikan mengikut MS1759 dan MGMS, memastikan kebolehoperasian rentas agensi dan memudahkan perkongsian maklumat nasional. Rangka Kerja Pengurusan Data Geospatial Bersepadu pula mengenakan kawalan keselamatan berlapis iaitu pengurusan akses berpusat, perekodan transaksi dan pengujian keselamatan secara berterusan bagi menjamin integriti dan kerahsiaan maklumat kritikal negara. MyGEMS disokong oleh Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025, RMK-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang menekankan infrastruktur digital serta inovasi geospatial sebagai pemacu Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur).

Kesediaan Masa Hadapan: MyGEMS Fasa 2 memperkenalkan visualisasi 3D berasaskan realiti maya (VR) dan terimbuh (AR), integrasi data luaran serta kolaborasi strategik dengan pihak rakan strategik, industri dan komuniti, memastikan platform kekal relevan dengan evolusi teknologi dan keperluan pemegang taruh. Fasa 2 juga akan memperluas keupayaan MyGEMS melalui pertambahan modul, antaranya pengenalan Kluster Penyelidikan bagi memusatkan hasil penyelidikan, projek R&D dan rekod sokongan teknikal untuk disepadukan dengan repositori geospatial sedia ada.Melalui gabungan teknologi awan (Cloud Technology) yang boleh boleh dikembangkan, penjimatan kos operasi, tadbir urus data berpiawai, penjajaran rapat kepada dasar negara dan pelan peningkatan berfasa. MyGEMS membentuk landasan kelestarian yang menyeluruh menjamin kesinambungan operasi, memperkukuh keselamatan maklumat dan terus menyokong agenda “Geospatial Pemacu Kelestarian Negara” untuk masa hadapan.

  1. Kolaborasi

Bilangan dan Jenis Pihak yang Terlibat: Kolaborasi MyGEMS merangkumi empat (4) kategori utama pemegang taruh: (i) warga JMG merentasi semua kluster data; (ii) agensi kerajaan persekutuan/negeri; (iii) akademia dan sektor swasta; serta (iv) orang awam sebagai penyumbang maklumat lapangan. Sepanjang tempoh ini, MyGEMS merekodkan penglibatan yang kukuh melalui tiga program utama: Jerayawara Hari GIS JMG 2025 di Putrajaya pada 15 Julai 2025 dengan penyertaan 33 agensi kerajaan dan swasta, 10 pempamer serta 300 peserta; Jerayawara Aduan Bencana Geologi di Sabah yang menghimpunkan 24 agensi dengan 50 peserta; serta Libat Urus Zon Utara di Pulau Pinang dengan penyertaan 62 peserta.

Peranan dan Sumbangan: JMG; mengurus tadbir, memproses, menyeragamkan dan mengintegrasi data daripada projek, sistem sedia ada dan arkib; serta bertindak sebagai gerbang capaian melalui geoportal, katalog data dan perkhidmatan peta. Rakan strategik teknikal; (contoh: JUPEM, PLANMalaysia, PETRONAS, NAHRIM, JAS, JTS Sarawak, Pejabat Ketua Menteri Sabah) merupakan pembekal data primer/sekunder yang diselaraskan agar serasi dengan struktur data JMG. Akademik dan industri; Universiti awam (contoh: UMS, UKM), pengguna lanjutan dan rakan integrasi aplikasi; memanfaatkan antaramuka web/mobil/portal untuk analitik, inovasi dan pemindahan pengetahuan. Orang awam; pelapor insiden geobencana secara atas talian melalui modul aduan; input ini menambah nilai set data pemantauan risiko. Rekod penyertaan ilmiah 2024 - 2025: 4 pembentangan utama antaranya Hari GIS 2024 (Putrajaya), Mesyuarat CCOP (Langkawi), NGC 2025 (Tawau) dan SIMPOMIN 2025 (Ipoh).

Sumber Data yang Digunakan dan Kaedah Perkongsian Data: Sumber data merangkumi migrasi/penukaran daripada MINGEOSIS, integrasi NaTSIS, cerapan lapangan dan sumbangan agensi luar; kesemuanya dihimpunkan dalam geodatabase geospatial bagi penyimpanan, capaian dan pengurusan bersepadu. Sokongan penerbitan: 2 artikel MyGEMS dalam Buletin Geospatial Sektor Awam (2021 dan 2023) yang mendukung standarisasi dan tadbir urus data. Perkongsian dan paparan data dilaksanakan melalui Geoportal MyGEMS dan Aplikasi Katalog (carian, pelayaran dan integrasi), boleh dicapai melalui desktop, aplikasi web dan peranti pintar; Geoportal berfungsi sebagai gerbang utama, manakala Katalog Data menyediakan repositori, carian serta laporan. Komponen GeoMobile misalnya ArcGIS Workforce dan ArcGIS Field Maps yang menyokong cerapan serta pengesahan crowdsource di lapangan. Di samping itu, modul pengurusan pengguna, dashboard dan map services membolehkan kawalan capaian berasaskan peranan (RBAC), pelaporan, pengurusan metadata dan perkhidmatan peta yang berterusan untuk pengguna dalaman serta rakan agensi.Rekod pameran 2024 - 2025: 7 penyertaan, daripada Karnival Kita (Jun 2024) hingga Seminar Potensi Air Bawah Tanah di Parlimen (Jun 2025), digunakan untuk demonstrasi langsung geoportal/katalog/field apps kepada rakan kolaborasi.

Tadbir Urus dan Penyelarasan: Pelaksanaan dan penyelarasan rentas agensi dipacu oleh mandat formal (JPICT JMG/NRES, JTISA, keputusan LPA), merangkumi pembangunan, penyiaran perkhidmatan, latihan pengguna dan Training of Trainers (ToT). Sepanjang Julai hingga September 2025, sekurang-kurangnya tujuh (7) liputan arus perdana/portal berita termasuk RTM, Sabah Headlines, Daily Express, The Malaysian Press, Sin Chew Daily telah mempopularkan penggunaan data rasmi MyGEMS serta membuka peluang kolaborasi baharu. Usaha berterusan sejak tahun 2023 untuk membawa MyGEMS dikenali di dunia digital kini membuahkan hasil apabila berjaya merekodkan 2,200 klik carian Google dalam tempoh 28 hari (Sumber: Google Search Console, 22 Ogos 2025). Kejayaan ini mencerminkan hasil daripada libat urus berterusan bersama agensi berkepentingan serta penyertaan aktif dalam pameran dan program promosi.

Penutup

Pelaksanaan MyGEMS telah menzahirkan sebuah bank data geospatial nasional yang bersepadu, merangkumi sembilan (9) kluster data utama dan sepuluh (10) modul aplikasi untuk memastikan produk geospatial JMG mudah dicapai serta dikongsi mengikut mandat Jabatan. Keseluruhan platform dihoskan pada MyGovCloud, sebagaimana hasrat Kerajaan untuk memacu transformasi digital sektor awam secara holistik. Dari sudut penyampaian, MyGEMS memperkukuh penceritaan data dan analitik melalui story map, peta interaktif dan dashboard yang menyampaikan maklumat secara dinamik. Usaha ini menutup jurang sistem lama, mempercepat perkongsian maklumat, serta menaik taraf pengalaman pengguna dalaman dan awam. Inisiatif ini juga selaras dengan dasar pendigitalan kerajaan termasuk Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) JMG 2021 - 2025 dan Dasar Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam yang menekankan penggunaan MyGovCloud, keselamatan siber bertaraf kerajaan dan pematuhan piawaian nasional. Penjajaran dasar ini memastikan kesinambungan, kebolehkembangan serta tadbir urus data untuk jangka panjang.

Kajian keberkesanan MyGEMS telah dibangkitkan di Parlimen (Dewan Rakyat, 2 Disember 2024) sewaktu perbahasan Belanjawan peringkat Jawatankuasa di bawah Butiran 020300-JMG, yang antara lain memohon penjelasan mengenai keberkesanan fungsi MyGEMS sebagai Bank Data Nasional Geosains menunjukkan impak positif terhadap perkongsian data, respons geobencana dan kecekapan operasi kerajaan. MyGEMS turut dirujuk lagi pada 6 Ogos 2025 sebagai pusat rujukan data air bawah tanah menunjukkan kesinambungan perhatian Parlimen terhadap peranannya. Dengan asas teknikal, tadbir urus dan dasar yang kukuh, MyGEMS bukan sekadar penaik taraf sistem, sebaliknya pemangkin ekosistem geospatial negara yang selamat dan kompetitif menyokong keputusan berpandukan data serta perancangan berasaskan bukti ke arah tema “Geospatial Pemacu Kelestarian Negara.”

Sila imbas Kod QR MyGEMS untuk akses segera ke https://mygems.jmg.gov.my

Artikel ini disediakan bagi penyertaan Anugerah Geospatial Kebangsaan (NGA) 2025.