MIRI: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sarawak baru-baru ini telah mengadakan sesi libat urus bersama penduduk Kampung Haji Waheed dan Kampung Lereng Bukit bagi memberi penerangan mengenai hasil kajian Light Detection and Ranging (LiDAR) yang dijalankan di Bukit Kanada.
Pengarah JMG Sarawak Jaithis John berkata, sesi berkenaan bertujuan menjelaskan hasil kajian LiDAR beresolusi tinggi yang meliputi kawasan seluas dua kilometer persegi bagi meningkatkan pemahaman penduduk terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh jabatan itu.
“Objektif utama taklimat ini adalah untuk memaklumkan kepada penduduk mengenai skop, kaedah serta manfaat kajian LiDAR yang merupakan komponen penting dalam usaha mitigasi bencana,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jaithis menjelaskan bahawa data yang diperoleh daripada kajian LiDAR memberi gambaran penting dalam mengenal pasti kawasan berisiko berlaku tanah runtuh, termasuk butiran tersembunyi seperti sudut cerun, tahap ubah bentuk serta magnitud hakisan.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama dan ketelusan antara semua pihak bagi memastikan keberkesanan projek seumpama itu.
“Kajian ini adalah langkah penting bagi memperkukuh pemahaman terhadap kestabilan geologi kawasan berkenaan.
“Pendekatan secara langsung dengan penduduk Kampung Haji Waheed dan Kampung Lereng Bukit amat penting supaya mereka sentiasa dimaklumkan dan pandangan mereka diambil kira sepanjang tempoh kajian,” tambahnya.
Sesi libat urus itu turut berfungsi sebagai platform pelbagai agensi dengan penglibatan Pejabat Residen Miri, Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Melalui sesi tersebut, semua pihak berkaitan dapat memberi penjelasan serta menjawab persoalan dan kebimbangan penduduk secara menyeluruh.
Turut hadir ialah perunding yang dilantik, VGX Sdn Bhd yang membuat pembentangan teknikal mengenai proses pengumpulan dan pemprosesan data LiDAR serta penentuan zon berisiko tanah runtuh, disahkan oleh Timbalan Pengarah JMG Sarawak Edward Muol.
Jaithis berkata, hasil sesi libat urus itu memberi kefahaman lebih jelas kepada penduduk mengenai situasi di Bukit Kanada, di samping berharap agar pihak berkuasa negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu tersebut dengan segera.
“Pemahaman bersama antara pihak jabatan dan penduduk amat penting bagi memastikan tidak timbul gangguan terhadap sebarang keputusan yang bakal dibuat pada masa akan datang,” ujarnya.