KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 4.1 magnitud yang melanda Segamat, Johor pada 24 Ogos lalu diikuti lima lagi siri gempa susulan termasuk pagi tadi terus mencetuskan kebimbangan kepada penduduk di daerah itu dan sekitarnya.
Apa sebenarnya berlaku dan apa puncanya apabila gegaran lemah berterusan melanda Segamat pada kedalaman 10 kilometer.
Buletin TV3 mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berhubung situasi ini.
Apa itu Sesar?
Sesar adalah pergerakan blok batuan disebabkan zon subduksi pergerakan kerak bumi menghasilkan tenaga. Apabila tenaga ini dilepaskan secara mengejut, ia menghasilkan gempa bumi.
Di Malaysia, terdapat beberapa sesar antaranya Sesar Mersing, Sesar Bok Bak, Sesar Bukit Tinggi, Sesar Kuala Pilah, Sesar Kuala Lumpur dan Sesar Terengganu.
Tenaga yang dilepaskan dengan pergerakan sama ada secara mendatar, menyongsang atau normal.

Sesar Mersing Wujud 60 juta tahun lalu
Menurut Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli, gempa bumi lemah di Segamat berlaku apabila Zon Sesar Mersing sepanjang 50 kilometer bertindak melepaskan tenaga apabila pergeseran berlaku.
"Bila pelepasan tenaga berlaku, kita tengok pola tenaga itu semakin menurun. Dia nak mencapai dipanggil sebagai stabil, sama ada dia akan simpan tenaga itu.
"Gegaran ini daripada pergerakan kepingan kerak bumi menghasilkan gempa itu tapi bukan daripada zon subduksi daripada luar tetapi kepingan sama.
"Untuk mengatakan dia sesar aktif, dia tidak dikategorikan sesar aktif, cuma pengaktifan semula. Kalau kita tengok dari segi pola dia semakin lemah untuk melepaskan tenaga," katanya.

Sesar bergerak 4 hingga 10 sentimeter
Jelasnya, sesar di Malaysia direkodkan hanya bergerak sekitar 4 hingga 10 sentimeter setahun akibat tekanan daripada kiri dan kanan sesar.
Kajian yang melibatkan Pakar Geologi dibantu pakar luar negara juga mendapati tiada sesar di Semenanjung boleh menyumbang kepada gempa bumi sederhana iaitu 5.0 magnitud ke atas.
Sebaliknya yang direkodkan hanya dibawah lima magnitud.
"Daripada kajian kami buat dengan pakar, paling tinggi boleh terjadi 5.5 magnitud itu pun senario terburuk. Dalam sistem sesar ini secara saintifik tidak menyumbang macam itu.
"Sebab kita dalam Plat Sunda yang stabil tapi kita dapat tekanan daripada kiri kanan sesar. Ini di Semenanjung, tetapi di Sabah lain kerana kita pernah ada pengalaman sampai 6.0 magnitud atau 6.5 paling buruk kita jangkakan," katanya lagi.

Pemantuan di buat di Segamat
Susulan gempa yang berlaku, tambahnya JMG Johor bersama METMalaysia sedang membuat pemantaun di sekitar lokasi kejadian.
"Saya difahamkan ada rekahan ‘hairline’ dan sebagainya, tapi kita kena tengok bukan semua satu Segamat, kita tengok apa pula batuan bawah itu sama ada gambut, tanah lembut.
"Jika tanah lembut, memang sekiranya ada gegaran gelombang akan naik atau bangunan tidak ikut spesifikasi yang tidak sepatutnya, akan terkesan.
"Kita pernah bincang pada tahun 2020, pemakaian Bio Seismik dalam kod bangunan, memang kita dah kuatkuasakan dan JKR telah guna pakai sepenuhnya," ujarnya lagi.