Keratan Akhbar
A- A A+

kpkosmo20082

Ramai yang beranggapan dunia geologi hanya mencakupi bidang pengkajian bumi dan batu sedangkan tugas mereka melangkaui semua itu. Mereka menjadi antara penemu bahan galian seperti emas, berlian, arang batu dan petroleum.

Wartawan MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM menyelami kerjaya ketika menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Dato' Haji Yunus Abdul Razak di ibu negara baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Kenapa Dato' memilih kerjaya ini?

Dato' Haji Yunus: Semasa di tingkatan lima, saya selalu menumpang rumah kawan ibu saudara di Kuala Lumpur sewaktu cuti persekolahan. Kebetulan kawan ibu saudara saya itu merupakan seorang pelajar geologi di sebuah universiti. Saya sering dibawa menaiki motosikal bersiar-siar di ibu kota dan Batu Caves.

Ketika berjalan-jalan itulah beliau menceritakan yang bandar Kuala Lumpur asalnya sebuah lautan.

Saya terkejut kerana bagaimana laut boleh menjadi daratan yang cukup besar?

Katanya ia terjadi disebabkan proses evolusi yang memakan masa selama berjuta tahun menyebabkan tanah dari dasar lautan naik membentuk daratan yang luas sebelum terbentuknya Kuala Lumpur dan negeri lain.

Saya turut berminat mengkaji petroleum kerana pada tahun 1970 negara kita baru menerokai kekayaan baru itu.

Bagaimana timbul minat Dato' terhadap sains tanah dan bumi?

Saya menerima buku bertajuk Present Is Key To The Past pemberian kawan kepada ibu saudara itu.

Kandungan buku itu mengenai dunia geologi dan keadaan bumi kini hasil revolusi yang memakan masa yang lama. Ia membuka mata saya untuk mendalami dunia geologi yang penuh dengan misteri khazanah bumi.

Apakah skop tugas seoarang pakar geologi?

Ia terbahagi kepada empat aspek utama. Pertama mencari dan membuat pemetaan sumber mineral berlogam bijih seperti bijih timah, emas dan tembaga. Bukan logam pula terdiri daripada tanah liat, batu kapur dan sebagainya.

Keduanya sains gunaan iaitu mencari air dalam bumi untuk kegunaan seharian.

Kita perlu mengkaji beberapa banyak yang boleh diambil supaya tidak menjejaskan struktur tanah selain mengkaji adakah ia selamat diminum.

Geologi kejuruteraan melibatkan proses pemetaan dan maklumat kejuruteraan meliputi struktur tanah, kelembapan, risiko dan kesesuaian fizikal tanah.

Kaedah remote sensing geofizik melibatkan kajian struktur bumi dan mengkaji lubang benam (tanah jerlus) serta implikasinya.

Geologi marin melibatkan kajian lautan di bahagian yang mempunyai kadar pasir yang tinggi atau tahap mineral yang banyak.

Pengalaman pahit dan manis Dato' sepanjang bertugas?

Semua pekerjaan ada pahit dan manisnya, ibarat orang mabuk bercinta. Sewaktu mula membuat pemetaan kali pertama di Merapoh, Pahang pada tahun 1979, saya tersesat bersama rakan selama dua hari.

Kami hanya minum air daripada akar kayu untuk meneruskan hidup. Peristiwa itu banyak mengajar erti kesabaran dan setiakawan.

Apa pula kelayakan akademik yang perlu ada untuk menjadi pakar geologi?

Mereka yang ingin terlibat dalam bidang ini harus memiliki Ijazah Sarjan Muda Geologi dari institusi pengajian tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara.

Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) ada menawarkan kursus dalam bidang geologi.

Prospek kerjaya pakar geologi di Malaysia?

Boleh kerja dengan jabatan saya (ketawa). Kenaikan harga petroleum menyebabkan peluang kerjaya dalam bidang ini semakin luas.

Negara kita sendiri kekurangan pakar kerana pakar yang ada mendapat tawaran yang lumayan daripada syarikat antarabangsa.

Apa pendapat Dato' mengenai kejadian aneh seperti kemunculan api misteri di beberapa negeri sebelum ini?

Secara analogi, jika kita pergi ke stesen minyak dan kita hisap rokok, apa akan terjadi? Menurut pengkajian saya, api misteri ini ekoran daripada longgokan sampah, bahan organik, mendapan dan pelupusan sampah yang tertimbus sejak sekian lama hingga membentuk gas metana.

Gas itu kan terbakar dalam tempoh empat atau lima hari sehingga habis.

Longgokan sampah dan bahan organik yang tertimbus turut memainkan peranan selain kemungkinan kawasan itu adalah lokasi simpanan arang batu yang besar sehingga membawa kepada penghasilan gas metana yang boleh terbakar sendiri.

Petikan akhbar KOSMO! Ahad 20 April 2008
Wartawan : Megat Lutfi Megat Rahim

Senarai Perkhidmatan Online

Bancian

Hujan lebat boleh menjadi petanda awal berlakunya tanah runtuh.

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Menara Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon
isms
 

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.