Kerja-Kerja Penggerudian

LOKASI 1 : JALAN KEBUN NANAS 3/KS 8, JOHAN SETIA

Penggerudian telah mula dijalankan pada 28 Mac 2019. Kedalaman yang telah dicapai pada 09 April 2019 ialah 117m. Litologi bagi lubang penggerudian adalah terdiri daripada gambut yang berkedalaman 0.2-1.0 meter dan diikuti dengan lempung, lodak, pasir berlempung, pasir berlodak, lempung berpasir, lodak berpasir, pasir berlodak dan shal. Pihak JMG telah memantau sepanjang proses penggerudian dijalankan. Pihak kontraktor juga telah menjalankan perbincangan dari masa ke semasa dengan pihak JMG tentang permasalahan semasa penggerudian dijalankan.

Litologi dan sampel batuan telah disemak oleh pihak JMG. Pada 10 April 2019, pihak kontraktor memohon untuk memberhentikan penggerudian pada 117meter. Ini adalah ekoran cerapan lapangan yang menunjukkan lubang gerudi tidak menunjukkan tanda-tanda perbezaan litologi dari kedalaman ~79.0meter-117meter iaitu berlitologi lodak berlempung. Perbandingan data penggerudian juga telah dijalankan dengan data dari kajian Geofizik Resistiviti 2D. Perbandingan ini menunjukkan litologi batuan adalah sama atau uniform sehingga ke kedalaman 160meter.

Perbincangan yang menyeluruh bagi mendapatkan keputusan bagi pemberhentian penggerudian ini telah dijalankan antara pihak kontraktor penggerudian, Pengarah JMG Selangor/WP dan pegawai-pegawai JMG Selangor/WP yang terlibat dalam aktiviti hidrogeologi. Hasil dari perbincangan tersebut dan penilaian terhadap keseluruhan litologi batuan serta kehadiran batuan berbutiran halus - sangat halus seperti litologi lodak berlempung pada kedalaman 79-117meter menunjukkan telaga yang digerudi ini tidak memungkinkan akan dapat menghasilkan luahan air yang banyak (melebihi 10m3/jam) pada telaga tersebut. Perbincangan ini juga telah mengambilkira pengalaman JMG Selangor dalam menggerudi telaga dengan litologi yang hampir sama di lokasi-lokasi lain sebelum ini. Keputusan yang kumulatif telah diambil oleh pihak JMG dengan mengambil kira semua faktor dan pandangan teknikal. Sehubungan dengan itu, pihak JMG Selangor memutuskan untuk mengarahkan pihak kontraktor memberhentikan penggerudian pada kedalaman 117 meter dan meneruskan dengan proses membina telaga dengan rekabentuk yang telah dipersetujui bersama. Sehingga 15 April 2019, pihak kontraktor sedang menjalankan proses membina telaga dengan memasukkan selongsong dan skrin mengikut rekabentuk yang dipersetujui.

Selain daripada itu, bagi mendapatkan data sehingga ke kedalaman 150meter, pihak JMG telah mengarahkan kontraktor penggerudian telaga untuk menjalankan penggerudian lubang gerudi bersaiz 2inci sehingga kedalaman 150meter. Tujuan penggerudian ini adalah untuk mendapatkan data litologi batuan sehingga ke kadalam tersebut bagi tujuan kajian selanjutnya.

LOKASI 2 : JALAN 10, JOHAN SETIA, KLANG

Penggerudian telah dijalankan bermula 11 April 2019. Kedalaman yang telah dicapai pada 15 April 2019 ialah 123m. Litologi bagi lubang penggerudian adalah terdiri daripada gambut yang berkedalaman 0.0-6.0 meter dan litologi terdiri daripada antaranya lempung berlodak, pasir berlodak bersaiz sederhana ke kasar, pasir halus ke sederhana kasar, pasir kasar ke sangat kasar, lempung berpasir dan lodak berlempung. Pihak JMG telah memantau sepanjang proses penggerudian dijalankan. Pihak kontraktor juga telah menjalankan perbincangan dari masa ke semasa dengan pihak JMG tentang cerapan semasa penggerudian dijalankan.

Pada 15 April 2019, penggerudian akan diteruskan sehingga mencapai kedalaman 150meter. Rekabentuk telaga akan dirangka setelah penggerudian dihentikan setelah mencapai kedalaman yang dikehendaki.