Pembangunan yang pesat telah menyebabkan kawasan sesuai untuk pembangunan semakin berkurangan sehingga memasuki kawasan sensitif alam sekitar termasuk kawasan lereng bukit. Sehubungan itu, Jabatan telah mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi mencegah atau mengurangkan berlakunya kejadian geobencana dengan melaksanakan pemetaan geologi terain dan pemetaan geologi kejuruteraan. Maklumat daripada aktiviti pemetaan tersebut digunakan secara meluas di dalam perancangan guna tanah oleh pihak berkuasa tempatan dan pelbagai agensi kerajaan.

Jabatan juga terlibat secara langsung dalam menjalankan siasatan geobencana seperti kejadian tanah runtuh dan lubang benam untuk mengetahui punca kejadian dan faktor-faktor geologi pencetus kejadian dan seterusnya mencadangkan langkah kawalan dan pencegahan kepada pihak berkuasa negeri.