Keratan Akhbar
A- A A+

IPOH: Siapa sangka sisa kapur karbida atau sisa karbaid yang banyak digunakan dalam industri gas asetilena iaitu gas bahan api untuk aplikasi kimpalan serta pembuatan komponen elektrik boleh digunakan untuk membuat kertas. 

Jika sebelum ini penggunaan kapur untuk penghasilan kertas adalah pada nisbah 10:90, Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains (PPMJMG) Malaysia menambah lagi 20 peratus penggunaannya, menjadikan nisbah kapur dan pulpa kayu dalam pembuatan kertas kepada 30:70. 

Pengarahnya, Md Muzayin Alimon, berkata penyelidikan berterusan selama lima tahun bermula 2011 oleh kumpulan penyelidik PPMJMG juga berjaya menghasilkan kertas pada kualiti sama tanpa sedikit pun mengurangkan kualiti kertas sedia ada. 

Katanya, teknik penghasilan kertas menggunakan 30 peratus batu kapur itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan teknologi itu mampu menjimatkan penggunaan kayu, sekali gus menjimatkan kos pembuatan kertas selain mengitar semula sisa buangan industri. 

"Paling menjimatkan dan menjadi kebanggaan kami adalah kerana ia menggunakan bahan sisa karbaid yang terhasil melalui industri gas asetilena yang sebelum ini berdepan masalah untuk dilupuskan dan membabitkan kos pelupusan yang tinggi.

01SISA kapur karbida atau sisa karbaid boleh digunakan untuk membuat kertas. - Foto Muhaizan Yahya

"Pembuatan kertas menggunakan kapur itu juga boleh terhasil melalui apa saja gred kapur walaupun ia kapur sisa buangan dan mampu menangani masalah pelupusan sisa berkenaan," katanya yang ditemui di pejabatnya di sini.

Md Muzayin berkata, inovasi itu terhasil melalui kajian teliti oleh beberapa penyelidiknya diketuai Dr Rohaya Othman dan mampu menjimatkan kos yang terpaksa dikeluarkan pihak industri dalam melupuskan sisa buangan berkenaan.

Katanya, setiap 3,000 tan sisa kapur karbida mampu menghasilkan 4,000 tan kalsium karbonat termendak (PCC) yang boleh menghasilkan kira-kira 2.3 juta rim kertas yang mampu memberikan pulangan sebanyak RM23 juta.

02PENGARAH Pusat Penyelidikan Mineral di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Md Muzayin Alimon. - Foto Muhaizan Yahya

Sementara itu, Dr Rohaya berkata, kapur karbida adalah sisa buangan yang terhasil dari industri gas asetilena yang terhasil daripada kesan sampingan tindak balas di antara kalsium karbida dan air ketika proses penghasilan gas asitilena.

Katanya, bahan berkenaan dikelaskan sebagai sisa buangan berjadual EQA 1974 dan perlu dilupuskan.

03DR ROHAYA menunjukkan rekacipta, Eco Green Paper: Carbide Lime Waste As Paper Filler. NTSP/Muhaizan Yahya

"Pada 2016, pengeluaran sisa buangan kapur karbida di Perak adalah sekitar 3,000 tan dan ia semakin meningkat dari tahun ke tahun berikutan permintaan gas asetilena yang tinggi dalam bidang pembinaan dan perkapalan.

"Berdasarkan analisis X-ray fluorescence (XRF) ke atas sisa buangan berkenaan, kandungan kalsium didapati agak tinggi iaitu sekitar 70 peratus. Oleh itu, adalah satu pembaziran sekiranya bahan buangan ini tidak dimanfaatkan sebaiknya," katanya.

Dr Rohaya berkata, penggunaan PCC dalam penghasilan kertas sebagai bahan pengisi telah wujud seawal kurun ke-18 dan pengisi PCC adalah bahan yang ditambah ketika penghasilan kertas bagi mengurangkan penggunaan gentian pulpa dan ia boleh menghasilkan sifat kertas mengikut kualiti yang diinginkan.

Katanya, secara umumnya pengisi PCC adalah lebih murah berbanding gentian pulpa dan selain dapat mengurangkan kos penggunaan, pengisi boleh membantu menambah baik kecerahan, kelicinan, kebolehcetakan dan ketahanan kertas yang dihasilkan.

Hasil penyelidikan berkaitan PCC dalam menghasilkan kertas dengan 30 peratus pengisi PCC dan 70 peratus pulpa kayu turut membolehkan PPMJMG memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu pingat emas pada Pameran Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa (ITEX) 2016 dan perak pada pameran sama pada 2015.

04REKACIPTA Eco Green Paper: Carbide Lime Waste As Paper Filler hasil ciptaan Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Mineral, Dr Rohaya Othman. - Foto Muhaizan Yahya

Dr Rohaya berkata, kaedah penghasilan kertas yang menggunakan sisa buangan industri kepada penghasilan kertas bermutu tinggi itu memberikan banyak manfaat kepada alam sekitar selain mampu menjana pendapatan negara melalui sisa buangan yang dikitar semula.

"Masalah yang dihadapi dalam melupuskan bahan sisa industri berkenaan yang memerlukan kepada kos pelupusan yang tinggi dapat dikurangkan, malah jumlah pokok yang terpaksa ditebang juga dapat dikurangkan kerana nisbah penggunaan PCC dan pulpa kertas dapat ditingkatkan.

"Selain itu ia juga mampu menjimatkan masa penghasilan kertas dan mengurangkan kos pengeluaran kerana ia boleh dihasilkan melalui apa sahaja gred batu kapur baik bahan bergred rendah hingga bahan bergred tinggi tanpa sedikitpun menjejaskan kualiti kertas yang dihasilkan.

"Ini kerana kajian yang dijalankan di pusat penyelidikan kami telah berjaya menambah nilai bahan mula bergred rendah iaitu bahan sisa buangan kapur karbida dari industri asitilena yang terdapat di dalam negara untuk menghasilkan pengisi PCC yang bermutu tinggi," katanya.

Dr Rohaya berkata, penghasilan pengisi PCC yang dilaksanakan menggunakan proses in-situ, iaitu proses di mana penghasilan pengisi PCC dan pemendakan di dalam lumen pulpa kayu dijalankan secara serentak di dalam makmal.

05HASIL inovasi PPMJMG, nisbah kapur dan pulpa kayu dalam pembuatan kertas meningkat kepada 30:70 daripada 10:90 sebelumnya. - Foto Muhaizan Yahya

Katanya, dalam proses berkenaan, kapur karbida digunakan sebagai bahan mula manakala gas karbon dioksida digunakan di dalam proses pengkarbonatan untuk menukar bahan mula kepada PCC yang bermutu tinggi.

"Penghasilan kertas melalui kaedah itu telah berjaya dibuktikan secara penuh dalam skala besar di Western Michigan University, Amerika Syarikat dan melaluinya kertas yang dihasilkan menepati piawaian ditetapkan.

"Inovasi teknologi penghasilan pengisi kertas ini berlainan dari kelaziman yang diaplikasikan oleh industri sedia ada di Malaysia.

"Secara khususnya dan melaluinya ia berjaya menjimatkan 50 peratus masa dan 30 peratus kos selain mampu meningkatkan produktiviti, menggunakan bahan mudah digunakan, mesra alam serta tidak membabitkan penggunaan bahan kimia berbahaya," katanya.

06PEGAWAI Penyelidik Pusat Penyelidikan Mineral, Dr Rohaya Othman. - Foto Muhaizan Yahya

Senarai Perkhidmatan Online

Bancian

Hujan lebat boleh menjadi petanda awal berlakunya tanah runtuh.

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Menara Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Lihat Direktori Bahagian/Pejabat Negeri

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon
isms
 

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.