Keratan Akhbar
A- A A+

medanbotani9

BATU PAHAT (Bernama) -- Mencari tempat rekreasi untuk beriadah di sekitar Batu Pahat tidaklah sukar. Bandar yang terkenal dengan nasi beriani gam ini mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi.

Satu daripadanya ialah Taman Botani Johor di Sri Medan, kira-kira 20 kilometer dari bandar Batu Pahat.

Sungguhpun kurang dikenali terutama masyarakat luar, Taman Botani Johor mempunyai tarikan tersendiri terutama kedamaian tasiknya.

SEJARAH TAMAN BOTANI

Di sebalik lanskap indah yang terbentang di hadapan mata, ada sejarah yang terukir di tasik Taman Botani Johor. Ia adalah tasik buatan yang terbentuk daripada aktiviti perlombongan bijih besi lebih 100 tahun lepas.

Berkedudukan setinggi 76.2 meter (250 kaki) dari paras laut, bentuk muka buminya berpaya dan ia adalah sebahagian lokasi perlombongan bijih besi yang berpusat di Sri Medan sebelum ditutup sepenuhnya sekitar tahun 1984.

Hasil kekayaan bijih besi yang terdapat di Batu Pahat terutama di Sri Medan menyebabkan syarikat dari Jepun Ishihara Sangyo Koshi (ISK) datang untuk memulakan aktiviti perlombongan sekitar tahun 1918.

Menurut sejarah, bijih besi yang pertama kali dibawa keluar dari Tanah Melayu ialah dari kawasan Sri Medan pada tahun 1921.

Bijih besi Johor membekalkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan bahan mentah yang diperlukan Jepun untuk industri besi dan keluli ketika itu.

Bagaimanapun syarikat ISK menutup operasi perlombongan bijih besinya selepas Jepun kalah dalam perang dunia kedua.

Aktiviti perlombongan itu kemudian diambilalih pula syarikat lain. Dianggarkan 15,000 orang pernah bekerja di lombong bijih besi yang terdiri daripada orang Melayu, India, Cina dan Indonesia ketika itu.

Selain tasik, peninggalan jeti tempat kapal tongkang berhenti mengambil bijih besi juga masih boleh dilihat. Rangka binaannya kelihatan masih kukuh walaupun terbiar lama.

Kapal tongkang digunakan untuk membawa bijih besi melalui sungai berdekatan iaitu Sungai Simpang Kiri sehingga ke laut Minyak Beku sebelum dipindahkan ke dalam kapal untuk penghantaran ke Jepun.

BERKONGSI PENGALAMAN

Kamaludin Abdullah, 76, antara kakitangan lombong bijih besi yang masih tinggal di Sri Medan setelah operasi perlombongan dihentikan 32 tahun lepas.

Selama 21 tahun mencari rezeki di sini, beliau tidak pernah lokek berkongsi pengalaman malah sering membantu guru sejarah dan pelajar universiti yang ingin mengetahui lebih dekat sejarah perlombongan bijih besi di sini.

Rumah yang didiami sekarang adalah bekas tapak kuarters pekerja lombong satu masa dahulu. Seperti mini muzium, rumahnya dipenuhi dengan bahan-bahan bersejarah termasuk gambar aktiviti perlombongan bijih besi, peta kawasan, alatan-alatan yang digunakan serta pelbagai jenis batuan yang disimpan sebagai bahan rujukan.

Berasal dari Besut, Terengganu, beliau berhijrah ke Sri Medan pada tahun 1963 untuk berkhidmat dengan Syarikat Malaya Miners Limited yang mengambilalih aktiviti perlombongan yang ditinggalkan syarikat ISK.

Kepakarannya diperlukan untuk melakukan kerja pengukuran, pemetaan lokasi dan carigali kerana beliau satu-satunya yang mempunyai kemahiran ketika itu.

Bukan itu sahaja beliau mempunyai kepakaran untuk mengenalpasti lokasi-lokasi baharu yang mengandungi bahan mineral seperti bijih besi dan bauksit.

Sepanjang tugasnya itu, tujuh kawasan baharu di sekitar Batu Pahat dikesan mengandungi bijih besi antaranya Seri Jagung dan Bukit Seribu.

Ada juga kawasan yang dikenalpasti sehingga kini masih belum diteroka, katanya yang mengakui kawasan di Batu Pahat sangat kaya dengan bijih besi dan bahan mineral lain.

Berkongsi pengalamannya ketika membuat kerja pengukuran dan pemetaan, Kamaludin berkata biasanya beliau akan mendapatkan maklumat awal daripada penduduk setempat.

Contoh tanah akan diambil terlebih dahulu untuk dibuat kajian. Sekiranya didapati memang terdapat bijih besi, beliau dan beberapa rakan sekerja lain akan mula berkampung di kawasan tersebut.

"Penilaian akan dibuat terhadap bijih besi yang ditemui. Jika bijih besi itu bermutu tinggi baharu saya akan masuk membuat pengukuran dan pemetaan yang kadangkala memakan masa sebulan duduk di dalam hutan," katanya tentang cabaran yang dilalui.

Beliau berkata hasil bijih besi di Sri Medan antara yang berkualiti tinggi dengan kandungan besi antara 58 hingga 60 peratus.

AKTIVITI PERLOMBONGAN DI SRI MEDAN

Ketika awal kedatangannya, Sri Medan yang terletak antara Yong Peng dan Parit Sulong kebanyakannya hanya dipenuhi pekerja lombong.

Tidak ramai penduduk asal di sini, katanya.

Kehidupan penduduk kampung juga agak susah dengan kebanyakan mereka hanya bekerja menoreh getah. Sebilangan kecil penduduk yang bekerja di lombong menikmati kehidupan yang lebih selesa kerana mendapat gaji tetap.

Beliau sendiri mendapat gaji RM400 sebulan ketika itu.

Menggunakan kaedah lombong terbuka, banyak mesin dan jentera yang digunakan bagi melombong bijih besi ketika itu antaranya gerudi berlian dan jentolak.

Ia berbeza dengan syarikat ISK sebelum itu yang menggunakan kaedah terowong bawah tanah dengan menggunakan tenaga manusia sepenuhnya bagi mengorek bukit hingga ke proses akhir.

Tidak kurang 40.5 hektar (100 ekar) keluasan di Sri Medan yang dijadikan kawasan perlombongan dengan ditetapkan beberapa seksyen termasuk kawasan yang kini dibangunkan Balai Polis Sri Medan dan pekan Sri Medan.

"Pengeluaran bijih besi terbesar di sini di seksyen yang kini dibangunkan Taman Botani Johor. Jutaan tan bijih besi berjaya dikeluarkan," katanya bijih besi yang dikorek akan dibawa ke tempat pembersihan dan dibuat pengiraan stok sebelum dihantar ke jeti.

Tidak ramai yang tahu sejarah aktiviti perlombongan bijih besi di Sri Medan termasuk penduduk sekitar Batu Pahat.

Menghabiskan hari tuanya di sini, Kamaludin berharap sejarah perlombongan bijih besi di Sri Medan akan dibukukan sebagai bahan sejarah yang boleh dibaca untuk diketahui oleh generasi akan datang.

BERNAMA

Sumber foto: http://kecubong-kecubong.blogspot.my/2012/03/taman-botani-johor.html

Perkhidmatan Dalam Talian

Bancian

Pernahkah anda melawat Muzium Geologi?

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Bangunan Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.