Keratan Akhbar
A- A A+

LANGKAWI, 4 Ogos (Bernama) -- Langkawi mengalami kemajuan pesat sejak penilaian pertama sebagai Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2011, kata seorang pakar Geopark UNESCO.

Pasquale Li Puma, seorang ahli geologi dari Itali berkata beliau tiba di Langkawi pada 2010 dan telah melihat beberapa tapak Geopark yang memerlukan infrastruktur dan pengurusan yang lebih baik.

"Sekarang saya melihat bahawa mereka (penduduk di Langkawi) telah melakukan sesuatu yang hebat. Segala-galanya sekarang sempurna. Pelawat tiba dan mempunyai idea tentang apa yang hendak dilihat," katanya ketika ditemui di Pulau Tasik Dayang Bunting.

Li Puma bersama dengan ahli geologi Sepanyol, Pablo Rivas Palomo berada di sini untuk menjalankan proses revalidasi mengenai status Langkawi sebagai Geopark Global UNESCO kerana keanggotaanya sekarang dengan Rangkaian Geopark Global (GGN) berakhir tahun ini.

Kagum dengan usaha untuk memupuk kesedaran masyarakat Geopark khusus dalam kalangan generasi muda selaku pelajar di pulau ini, Li Puma berkata pelan strategik yang digerakkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memang selaras dengan konsep Geopark.

"Mereka (LADA) telah merancang segala-galanya. (Mula-mula sekali ialah pelan strategik) dari 2010 hingga 2014 dan sekarang (satu lagi pelan strategik) dari 2015 hingga 2020. Mereka bukan sahaja merancang tetapi merealisasikan pelan satu demi satu dan ia sangat menakjubkan," katanya.

UNESCO dalam laman Webnya mendefinisikan Geopark global sebagai kawasan yang disatukan dengan warisan geologi yang mempunyai kepentingan antarabangsa apabila warisan akan dimanfaatkan untuk memupuk kesedaran mengenai isu-isu utama yang dihadapi oleh masyarakat.

Naib Presiden Rangkaian Geopark Global UNESCO, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata pada masa ini terdapat 110 kawasan di seluruh dunia yang diiktiraf sebagai ahli GGN yang layak memperolehi status sebagai Geopark global.

Beliau berkata angka itu boleh meningkat kepada 122 menjelang tahun depan kerana 12 kawasan baharu sedang dinilai manakala 18 kawasan lain yang telah pun diberikan status akan menjalani proses revalidasi.

Sebagai seorang daripada dua rakyat Malaysia yang tergolong antara 45 pakar antarabangsa UNESCO yang menjalankan penilaian, Ibrahim berkata ancaman yang boleh menjejaskan status Geopark global sesuatu kawasan ialah sikap masyarakat yang mempunyai salah tanggapan.

"Ancaman (ke atas Geopark global) datang dari dalam dan bukan sebaliknya dari luar seperti mereka yang semata-mata memikirkan untuk mengaut keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan warisan dan alam sekitar di kawasan tersebut," katanya.

Langkawi merupakan satu daripada Geopark global UNESCO yang memperoleh status itu pada 2007 sebelum berjaya menjalani pengesahihan semula empat tahun kemudian (2011) untuk mengekalkan statusnya.

Tahun ini merupakan masa yang penting untuk menentukan sama ada Langkawi masih boleh dibenar mengekalkan status tersebut sehingga 2020 tetapi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai agensi utama peneraju pembangunan di pulau tersebut telah memastikan segala-galanya telah dilakukan untuk memenuhi keperluan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli berkata mereka telah menerima beberapa cadangan semasa penilaian pertama pada 2011 dan telah mengambil langkah untuk membaiki keadaan di Langkawi.

Beliau berkata selain membangunkan infrastruktur baharu dan menaik taraf kemudahan sedia ada, LADA juga mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti pendidikan komuniti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai Geopark di pulau tersebut.

"Saya percaya pendekatan Geopark kami adalah selaras dengan konsep yang ditetapkan oleh mereka (GGN)," katanya sambil menambah bahawa LADA selama ini telah menjadikan konsep Geopark global sebagai platform untuk mengekalkan pembangunan inklusif dan mampan di Langkawi.

Khalid berkata konsep Geopark Langkawi tidak semata-mata tertumpu kepada pemuliharaan alam sekitar tetapi diperluaskan untuk merangkumi masyarakat setempat dan pembangunan ekonomi.

Katanya penilaian semula status Langkawi sebagai Geopark global juga memberi peluang untuk memperkukuhkan rangkaian Langkawi dengan UNESCO melalui GGN untuk memberikan lebih banyak input untuk kemajuan pulau tersebut pada masa depan.

"Dalam usaha untuk maju ke hadapan, saya mengaku bahawa masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dan saya berharap kita boleh melakukannya. Selagi kita menganggap (membangun sebagai Geopark global) secara berperingkat di sepanjang perjalanan, kita perlu memperbaikinya sepanjang masa," katanya.

Hasil pengesahihan semula itu akan diumumkan semasa Persidangan Geopark Asia Pasifik selama lima hari yang akan diadakan di Geopark Global San'in Kaigan di Jepun bermula 16 Sept tahun ini.

Tutup Tutup
  • Bold
  • Italic
  • Underline
  • Stroke
  • Quote
 
  • 1000 patah perkataan sahaja lagi
   
 

Perkhidmatan Dalam Talian

Bancian

Pernahkah anda melawat Muzium Geologi?

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Bangunan Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.