Keratan Akhbar
A- A A+

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Sebanyak 44 stesen seismik yang bertindak mengesan gegaran gempa bumi telah dipasang di seluruh negara termasuk lapan di Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata sebanyak 20 lagi stesen seismik baharu termasuk tujuh di Sabah, akan dipasang di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

"Setakat ini Sabah mempunyai dua stesen seismik 'strong motion' iaitu di Ranau dan Lembah Danum manakala enam stesen seismik 'weak motion' di Sandakan, Kudat, Kota Kinabalu, Sepulut, Tawau dan Lahad Datu," katanya kepada Bernama di sini.

Stesen seismik baharu yang akan dipasang di Sabah ialah stesen seismik 'strong motion' di Keningau, Sandakan, Kota Belud dan Kota Kinabalu; tiga lagi stesen 'weak motion' (Ranau, Semporna dan Lembah Danum).

Pakar Geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin berkata, stesen seismik yang dipasang pada permukaan bumi mampu mengesan dan mengira magnitud sebarang gegaran akibat gempa bumi di sesuatu kawasan.

Tajul Anuar berkata stesen ini turut mengesan gegaran yang disebabkan oleh gelombang yang telah merambat di dalam kerak bumi.

"Bila satu tempat itu bergegar gelombang tu merambat sampai ke tempat kita, jadi kita terasalah gegarnya, begitulah yang berlaku di Sabah, apabila gempa bumi berlaku di Ranau, kawasan lain seperti Tuaran, Tambunan dan Kota Kinabalu turut merasai gegaran itu," katanya.

Jumaat lepas, gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, dengan pusat gempa terletak 16km di barat laut Ranau, dan gegaran turut dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Jelasnya stesen seismik juga boleh mengesan lokasi punca atau fokus gempa bumi daripada had laju gelombang yang sampai kepadanya melalui pengesanan sekurang-kurangnya tiga stesen seismik.

Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada alat atau sistem di dunia ini yang dapat meramal berlakunya gempa bumi.

Perkhidmatan Dalam Talian

Bancian

Pernahkah anda melawat Muzium Geologi?

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Bangunan Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.