Keratan Akhbar
A- A A+

5 9

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Sabah, terutamanya di kawasan utara dan timur laut negeri itu, telah mengalami tidak kurang 80 kejadian gempa bumi sejak 1897, dengan kejadian terbaru yang berlaku Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Dato' Yunus Abd Razak berkata gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter, yang berpusat 16km dari bandar Ranau, pukul 7.15 pagi itu adalah yang terkuat direkodkan setakat ini, bagi Sabah dan Malaysia.

Magnitud bagi kesemua gempa bumi yang direkodkan sebelum ini adalah berjulat dari 3.6 hingga 5.8 pada skala Richter, yang berlaku di Lahad Datu pada 1976.

"Berdasarkan kedudukan pusat gempa yang diplot di atas peta seismotektonik Malaysia, ia dipercayai dicetuskan oleh Sesar Aktif Lobou-Lobou yang berjurus lebih kurang 20 darjah utara," katanya kepada BERNAMA.

Yunus menjelaskan pusat gempa bumi berkedalaman 10 kilometer, terletak dalam zon sesar utama rantau Crocker Fault Zone (CFZ) yang berjurus timur laut-barat daya iaitu di sepanjang laluan yang menganjur dari Tenom sehingga ke Teluk Marudu.

Gegaran gempa bumi itu dirasai juga di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Ranau, Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Ditanya kemungkinan kejadian seumpamanya berlaku pada masa akan datang, Yunus berkata gempa bumi adalah satu kejadian yang tidak boleh diramal bila, di mana dan pada skala berapa ia akan berlaku.

"Bagaimanapun, berdasarkan aktiviti tektonik dan sesar aktif di Sabah, kejadian gempa bumi mungkin boleh berlaku lagi di masa hadapan," katanya.

Bagi Semenanjung, kemungkinan gempa bumi boleh berlaku tetapi berdasarkan faktor geologi, keadaan di Semenanjung dilihat lebih stabil dan selamat.

Beliau berkata susulan gegaran hari Jumaat, JMG Cawangan Sabah menjalankan kerja-kerja menilai dan merekodkan kesan gempa berkenaan.

Sementara itu, pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan bersependapat dengan Yunus bahawa di kawasan Ranau dan Lahad Datu sememangnya ada sesar aktif yang bergerak.

"Lazimnya kalau disebabkan oleh sesar, dan bila berlaku gegaran susulan, itu adalah gegaran yang agak lemah dan juga sederhana.

"Jadi kita tidak perlu khuatir dengan gerakan atau gempa bumi susulan kerana biasanya ia berlaku secara kadang-kadang dan kita tak rasa pun," katanya.

Mengakui fakta berkenaan, Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar MPN, Prof. Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata kawasan Ranau dikenal pasti kawasan aktif gempa bumi dan telah ada sekitar 10 kejadian gempa bumi direkodkan di Sabah dalam beberapa tahun terakhir ini.

"Kebanyakannya berukuran tiga hingga lima pada skala Richter... gempa kali ini adalah yang terbesar pernah direkodkan. Ini merupakan bukti yang jelas kawasan ini merupakan zon aktif tektonik. Ia juga berkaitan dengan zon aktif gempa di Sulawesi.

"Akan berlaku lagi gempa pada masa akan datang. Pembangunan di kawasan berhampiran pusat gempa dan zon sesar aktif perlu mengambil kira impak gempa," katanya.

Ahli-ahli geologi juga mentaksirkan Gunung Kinabalu masih aktif mengalami pengangkatan pada kadar beberapa milimeter (mm) setiap tahun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abd. Malik Tussin percaya tiada gempa bumi berskala besar yang akan berlaku dalam masa terdekat ini.

"Gempa bumi berlaku kerana tekanan dalam bumi yang semakin tinggi di mana dalam satu ketika bila tak boleh tahan, ia meletup... jadi lepas ini ia akan ambil masa bertahun-tahun untuk kumpulkan tenaga.

"Setakat ini keadaan di Sabah masih terkawal dan tidak membimbangkan," katanya.

Tutup Tutup
  • Bold
  • Italic
  • Underline
  • Stroke
  • Quote
 
  • 1000 patah perkataan sahaja lagi
   
 

Perkhidmatan Dalam Talian

Bancian

Pernahkah anda melawat Muzium Geologi?

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Bangunan Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.