Keratan Akhbar
A- A A+

ru 01.1

KETIKA pertama kali meneroka tanah seluas 1.26 hektar yang terletak di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah, seorang lelaki kelihatan sedikit kehairanan.

Manakan tidak, sebahagian kawasan tanah yang dibeli daripada seorang pemilik yang berasal dari Jabi, Pokok Sena itu berwarna keputih-putihan seperti tanah kapur.

Biarpun strukturnya nampak keras dan padu, namun tanah tersebut sebaliknya bersifat poros, ringan dan mudah berderai.

Pelik dengan situasi tersebut, Abdul Halim Jusoh, 66, nekad bertanyakan persoalan yang membelenggu kotak fikirannya kepada beberapa penduduk yang lain.

Bagaimanapun, rata-rata jawapan yang diberikan tidak mampu memuaskan hatinya.

"Pada waktu itu, saya hanya diberitahu mereka memanggil tanah tersebut sebagai batu pong. Mereka juga mendakwa kononnya, tanah jenis ini tidak mempunyai nilai kerana ia tidak subur untuk tanaman.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana hanya mengetahuinya selepas ia diteroka dan dibersihkan.

"Tambahan pula, pada ketika itu, saya memerlukan tanah untuk membina rumah bagi keselesaan keluarga memandangkan sudah beberapa tahun hidup menyewa," katanya mengimbau kenangan kira-kira 43 tahun yang lalu.

Jelas bapa kepada enam orang cahaya mata itu, biarpun begitu, dia tetap berbangga kerana tanah tersebut yang dibeli pada harga RM750 adalah hasil titik peluhnya sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan Padang Terap.

Katanya lagi, pada tahun 1974, dia mula membina sebuah rumah untuk keluarganya dengan menggunakan kayu.

Bagaimanapun sekitar awal 90-an, dia membuat sedikit pengubahsuaian dan menggantikan struktur rumah kayu tersebut kepada batu-bata.

"Saya akui, kos penyelenggaraan tanah ini agak tinggi berbanding tanah-tanah milik saya yang lain.

ru 01.2ABDUL HALIM mendapati tanah di tempat kediamannya berasal daripada debu gunung berapi Danau Toba Sumatera Indonesia kini di jadikan Tapak Geowarisan Kedah.Tumpuan lembu

"Bayangkan, untuk bahagian tapak rumah ini sahaja, saya terpaksa menambaknya dengan tanah sebanyak 200 buah lori.

"Selepas ditambak barulah saya boleh membina rumah selain menanam pokok-pokok. Namun, di bahagian belakang rumah, saya masih mengekalkan struktur tanah asalnya memandangkan pada waktu itu saya tidak mempunyai apa-apa perancangan," jelasnya.

Abdul Halim yang juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Padang Nyior berkata, pada peringkat awal, dia tidak menyedari sebarang keistimewaan yang ada pada tanah tersebut melainkan ia sering menjadi tumpuan kawanan lembu di kampung.

"Saya perasan lembu-lembu suka menjilat tanah ini sehingga ada bahagian yang berlubang, mungkin kerana rasanya yang masin. Jadi saya hanya menganggap itu perkara biasa.

"Bagaimanapun, semuanya berubah selepas beberapa kakitangan dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia datang ke rumah saya awal tahun lalu untuk membuat kajian.

"Ketika itu, barulah saya tahu batuan di belakang rumah saya merupakan debu gunung berapi yang tercetus di Toba, Sumatera, Indonesia sekitar 74,000 tahun lalu," jelasnya.

ru 01.3PENDUDUK menggelarkan kawasan tanah milik Abdul Halim sebagai tanah batu pong (tidak subur) rupanya berasal daripada debu gunung berapi Danau Toba Sumatera, Indonesia.

Lebih mengejutkannya, kawasan itu juga kini diwartakan sebagai Tapak Geowarisan Kedah pada 27 April lalu yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bagi negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Zainol Husin berkata, kajian mengenai debu itu sebenarnya telah bermula sejak awal tahun 80-an lagi.

Pada ketika itu, beberapa kakitangan jabatan tersebut termasuk dirinya yang melakukan pemetaan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand telah menemui batuan tersebut yang bertaburan di sepanjang Sungai Padang Terap.

Bukan itu sahaja, sebongkah batu granit dengan ketinggian 30 meter dari aras laut berjaya ditemui di Kampung Padang Chenerai dengan ketebalan dianggarkan sekitar 1.5 meter hingga 3.5 meter.

"Kajian turut mendapati, endapan itu menindih secara tidak selaras dengan aluvium pasir dan lempung bersifat poros, ringan dan berliang yang bersaiz halus hingga sederhana.

"Selain itu, debu tersebut juga turut ditemui dalam lingkungan kawasan seluas 10 kilometer persegi di Kampung Pisang, Kampung Padang Gelanggang, Kampung Pok Ka, Kampung Kubang Palas, Kampung Seberang dan Kampung Padang Nyior.

"Kajian lanjut di bawah mikroskop mendapati, endapan ini mengandungi bahan berkaca isotropik dengan sedikit biotit dan zirkon serta kandungan kuarza yang bersaiz di antara lodak hingga pasir, serpihan kaca dan pecahan pumis pula mencapai saiz 1.2 milimeter dan 2 milimeter," katanya.

ru 01.4TANAH kapur yang dikatakan berasal daripada debu gunung berapi dikesan di beberapa buah kampung di sekitar Padang Sanai Kuala Nerang, Kedah.

Gunung berapi

Tambah Zainol, berdasarkan kajian-kajian sebelumnya, debu tersebut dipercayai berasal daripada aktiviti letusan gunung berapi di Toba, Sumatera, Indonesia sekitar 74,000 tahun lalu.

"Letusan gunung berapi itu disifatkan antara yang terbesar dalam tempoh 2 juta tahun lalu dan dipercayai menyebabkan kewujudan Tasik Toba seperti hari ini.

"Difahamkan, letusan mega itu juga menyebabkan kepulan debu yang berketebalan sehingga lima meter berterbangan sehingga ke India, Pakistan dan Teluk Parsi.

"Sementara itu di Malaysia pula, debu itu dipercayai bertebaran di tiga lokasi utama iaitu di Padang Sanai, Kedah; Lenggong, Perak dan Serdang, Selangor," ujarnya.

Beliau berkata, hasil kajian tersebut juga membuktikan kawasan sekitar Kuala Nerang merupakan kawasan daratan jutaan tahun dahulu.

"Faktor itu dipercayai menyebabkan wujudnya endapan debu di sekitar Padang Sanai dan masih boleh dilihat sehingga kini berbanding di tempat-tempat lain kerana ia dipercayai telah dihanyutkan oleh air laut.

ru 01.5SEORANG pembantu geosains menguji sampel tanah kapur di kawasan rumah Abdul Halim."Teori tersebut diperkukuhkan dengan penemuan batu rinjang di Bukit Larek, Pokok Sena yang lazimnya ditemui di lautan dalam dan dibentuk oleh pengenapan sejenis fosil mikro, radiolaria," katanya.

Jelas Zainol, kajian mengenai debu itu bagaimanapun diteruskan pada tahun 2011 menerusi Projek Mineral Perindustrian Pengkhususan Kajian Kesesuaian Sumber Ziolit.

Katanya, berdasarkan kajian awal, didapati kandungan mineral debu tersebut berpotensi untuk tujuan pertanian.

"Dalam bentuk semula jadi, debu ini memang tidak subur untuk tanaman, namun apabila dicampur dengan tanah-tanah lain, ia boleh dijadikan baja seperti najis ayam dan sebagainya.

"Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai bahan penyerap cecair semula jadi untuk mengatasi kejadian tumpahan minyak di lautan.

"Sehingga kini, kajian lanjut masih dilakukan untuk mengenal pasti potensi-potensi lain yang boleh dikomersialkan dan digunakan untuk industri pada masa hadapan," katanya.

Muat turun keratan akhbar asal Kosmo! Ahad 31 Mei 2015:

pdfDebu_Gunung_Berapi_Toba_Kosmo_31052015343.01 KB03/06/2015, 15:28

Senarai Perkhidmatan Online

Bancian

Pernahkah anda melawat Muzium Geologi?

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Menara Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.