Keratan Akhbar
A- A A+

KUCHING (Bernama) -- Proses geologi sejak jutaan tahun dahulu telah membentuk muka bumi bertanjung di Taman Negara Bako yang juga taman negara tertua dan terkecil di Sarawak dengan pelbagai keunikan tersendiri.

Ciri batuan yang tahan hakisan membentuk bukit dan tebing pantai yang tinggi di kawasan berkeluasan 27 kilometer persegi ini.

Menggabungkan laut, pantai, hutan, tanah tinggi serta kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna tidak sekali-kali membuatkan sesiapa yang datang merasa jemu dengan apa yang tersaji di sini.

Menghadap Laut China Selatan yang terbentang luas, kawasannya agak terlindung dan terpencil yang hanya boleh sampai dengan menaiki bot laju.

Dibuka pada tahun 1957, lokasinya yang tidak jauh dari bandaraya Kuching, kira-kira 37 kilometer menjadikan ia tumpuan pelancong terutama dari luar negara dengan jumlah tidak kurang 30,000 pelancong setiap tahun.

KHAZANAH ALAM BAKO

Diliputi ekosistem hutan terdiri daripada hutan bakau dan paya gambut membuatkan perjalanan kira-kira 30 minit dari jeti nelayan Kg Bako ke taman negara tidak bosan dengan kehijauan alam sekelilingnya.

Dari jauh gunung Santubong jelas kelihatan yang menyerupai seperti sekujur tubuh perempuan sedang terbaring.

Sebaik sampai, batuan besar yang terbentuk secara semulajadi oleh angin dan ombak tersergam di hadapan mata. Kebiasaannya pelancong akan diturunkan di tepi pantai berdekatan dengan pejabat pendaftaran taman negara di Telok Assam.

Kemudahan serba lengkap yang tersedia di sini dengan tempat penginapan, kafe dan jurupandu membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam semulajadi sepenuhnya.

Sebelum memulakan pengembaraan di taman negara yang menjadi permata di selatan Sarawak ini, pengunjung boleh memilih laluan yang ingin diterokai kerana di sini terdapat 18 laluan yang berkod warna dengan setiap daripadanya memberikan cabaran yang berlainan.

Antaranya Tanjung Sapi, Telok Paku, Ulu Assam, Telok Delima, Telok Pandan Besar, Telok Pandan Kecil, Serait, Lintang, Tajor, Tanjung Rhu, Bukit Keruing, Teluk Limau, Telok Sibur, Telok Keruin.

Laluan lebih mudah dan dekat yang biasa menjadi pilihan pengunjung ialah ke Teluk Paku sejauh 800 meter atau ke Telok Pandan sejauh 2.6 kilometer dengan mengambil masa satu hingga tiga jam berjalan kaki.

Walaupun laluan yang disediakan agak rata dan mudah namun masih memerlukan pengunjung memakai kasut yang sesuai bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Harus diingat bekalan air yang mencukupi juga perlu disediakan kerana laluan tersebut kebanyakannya terdedah kepada terik matahari.

DISAMBUT ORANG BELANDA

Memulakan perjalanan, mata yang sentiasa memerhati keadaan sekeliling tertarik dengan kelibat monyet proboscis atau Orang Belanda yang setia di atas pokok berdekatan pejabat pendaftaran.

Monyet jantan berhidung panjang itu antara spesies yang mendiami taman negara di sini. Terdapat kira-kira 275 monyet proboscis yang mendiami kawasan di sini yang merupakan spesies monyet yang jarang ditemui dan hanya terdapat di Borneo sahaja.

Kebiasaannya monyet ini boleh ditemui pada waktu pagi dan petang ketika keluar mencari makan di pokok-pokok bakau.

Turut ditemui monyet daun perak (lutung) atau "silver leaf monkeys" yang berwarna kuning ketika dilahir dan bertukar berwarna perak ketika dewasa. Kebanyakan monyet di sini sudah biasa dan tidak takut dengan kehadiran manusia.

Dibantu jurupandu yang dikenali sebagai Bujang, beliau menyatakan untuk meneroka keseluruhan Bako yang berkeluasan 2,727 hekta memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu.

Telok Limau sejauh 5.75 kilometer yang memakan masa 12 jam berjalan kaki pergi dan balik adalah laluan paling jauh dan mencabar.

Namun tidak ramai yang berani mencuba laluan tersebut, katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun sebagai jurupandu Taman Negara Bako.

Terdapat 600 spesies tanaman bunga termasuk 49 spesies orkid, 267 spesies haiwan termasuk 30 spesies mamalia, 34 spesies kelawar, 24 spesies reptalia dan 16 amfibia selain 196 spesies burung yang direkodkan di sini yang menjadi lokasi terbaik bagi pengkaji burung.

Hidupan liar paling aktif ketika waktu senja dan ada juga yang hanya boleh ditemui ketika waktu malam. Ini menyebabkan ada pengunjung yang bermalam di sini memilih untuk meneroka hidupan pada waktu malam bagi mendapatkan pengalaman yang berbeza.

Jika bernasib baik akan bertemu dengan babi hutan yang biasanya akan mencari makanan seperti ketam di tepi pantai.

MERCU TANDA BAKO

Penat meneroka hutan dan tanah tinggi, pengunjung boleh meneruskan pengembaraan dengan melihat keindahan pembentukan batuan yang berusia antara lima hingga 27 juta tahun.

Antara tarikan yang tidak boleh dilepaskan 'Sea-stack" berbentuk kepala ular tedung yang menjadi mercu tanda utama Taman Negara Bako.

Pengunjung boleh menaiki bot laju sama ada dari Telok Delima ataupan Telok Paku untuk menghampiri kawasan pembentukan batu pasir yang sangat menarik.

Proses geologi yang dikenali 'Plateau Sandstone' yang berlapis di tebing akibat tindakan ombak yang menghakis pantai sering menjadi tumpuan ahli geosains menjalankan kajian.

Pelbagai formasi unik boleh dilihat dengan jelas dari pelbagai sudut yang berbeza mengikut imaginasi yang melihatnya seperti kepala perempuan dan lelaki serta unta yang sedang duduk.

Selain itu boleh juga dilihat pembentukan corak seakan-akan cendawan disebabkan perbezaan luluhawa atau fenomena 'iron concreation', yang kelihatan seperti seni moden, yang banyak terdapat di Teluk Paku.

CARA KE TAMAN NEGARA BAKO

Dibuka sepanjang tahun, pengunjung perlu mendaftar untuk masuk ke taman negara di kaunter daftar Bako yang terdapat di jeti Bako.

Setiap pengunjung perlu membayar tiket masuk RM10 bagi dewasa manakala bagi kanak-kanak, pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya pula hanya RM5.00.

Pengunjung boleh mendapatkan khidmat bot yang terdapat di muara Sungai Bako untuk ke taman negara dengan bayaran RM47 bagi sehala yang boleh memuatkan lima penumpang.

Dikendalikan sepenuhnya Jabatan Hutan Sarawak, Taman Negara Bako turut menyediakan kemudahan lain antaranya rumah rehat yang berharga RM78 hingga RM158 semalam, asrama RM42 semalam, khemah RM5.00 seorang selain disediakan surau, bilik pameran dan pusat penerangan.

Tutup Tutup
  • Bold
  • Italic
  • Underline
  • Stroke
  • Quote
 
  • 1000 patah perkataan sahaja lagi
   
 

Perkhidmatan Dalam Talian

Bancian

Pernahkah anda melawat Muzium Geologi?

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Bangunan Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.