Keratan Akhbar
A- A A+

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tarikh 17 Okt adalah Hari Antarabangsa Untuk Membasmi Kemiskinan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Malaysia mempunyai banyak sebab untuk meraikannya berdasarkan rekod cemerlang negara melaksanakan usaha itu.

Jumlah isi rumah miskin, di kedua-dua kawasan bandar dan kampung dicatatkan menurun sejak negara mencapai kemerdekaan.

Contohnya, daripada tahun 2009 hingga 2012, kadar kemiskinan isirumah menurun sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 pada tahun 2009 kepada 108,000.

Malahan golongan miskin di negara ini kini menikmati pelbagai kemudahan bantuan termasuk bayaran tunai BR1M.

Makanya mereka perlu menganggap bernasib baik berbanding dengan golongan miskin di negara lain yang tidak ada sebarang bantuan atau cara untuk mengurangkan kesempitan hidup.

Bagaimanapun, pihak kerajaan Malaysia serta pertubuhan yang terlibat dalam usaha untuk membasmi gejala kemiskinan ini masih menganggap perjuangan ini masih belum selesai.

Bagi individu seperti Tan Sri Faizah Mohd Tahir, pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan Sejahtera (YS), kerjasama strategik antara kerajaan dan pertubuhan seperti YS adalah penting dalam meningkatkan usaha membasmi kemiskinan.

YS adalah saluran untuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) membantu kerajaan ke arah usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.

KEMISKINAN TEGAR

"Kami turut berperanan dalam melengkapkan usaha kerajaan membasmi kemiskinan. Kami akui memang masih ada isi rumah miskin dan miskin tegar dan inilah peranan kami sebagai rakan kongsi strategik agensi kerajaan.

"Ada banyak sebab mengapa masih ada kemiskinan di Malaysia. Berdasarkan pengalaman kami, mereka yang tinggal di kawasan terpencil atau pedalaman lebih mudah terjerumus ke dalam lembah kemiskinan", kata Faizah.

Pada masa ini, program YS memberi tumpuan kepada golongan miskin tegar dengan rancangan jangka masa panjang untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Sehingga Ogos 2014, sebanyak 6,431 keluarga telah menerima bantuan daripada YS dalam bentuk kelengkapan, kemahiran dan infrastruktur bagi mengikuti program berkaitan dengan pertanian, jahitan, pendidikan dan perniagaan.

KERJASAMA KUNCI KEJAYAAN

"Kami tidak memberi wang tunai kepada peserta. Matlamat kami adalah untuk membimbing dan membantu mereka supaya mampu memperoleh pendapatan berterusan untuk keluarga.

"Untuk itu, kami bekerja rapat dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan universiti.

"Di peringkat negeri seperti Sabah, YS turut memainkan peranan aktif dalam program pembasmian kemiskinan yang dikendalikan kerajaan negeri", tambahnya.

YS melaksanakan misinya dengan bantuan Unit Penyalarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan daftar kemiskinan iaitu eKasih, pangkalan data isi rumah yang memperoleh kurang daripada RM1,000 sebulan di kawasan kampung dan RM1,500 sebulan di kawasan bandar.

Kebanyakan program yang dilaksanakan YS berasaskan latihan, justeru Yayasan ini perlu menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan yang mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing.

Contohnya, bagi projek meningkatkan mata pencarian di Kampung Song Song, Kota Belud, Sabah, YS bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA) untuk membantu pelatih dalam penanaman halia.

Di Lusong Baku, Sarawak, YS berganding bahu dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk memasang sistem air graviti bagi kemudahan 102 keluarga Penan.

Di Kelantan, program untuk mempromosi kegiatan pertanian serta perniagaan berasaskan makanan dan jahitan dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Universiti Malaysia Kelantan.

Program ini berjaya menjana pendapatan tambahan terkumpul sebanyak RM510,528.50 untuk 55 peserta.

HARI BASMI KEMISKINAN

Dalam meraikan kejayaan Malaysia mengurangkan kadar kemiskinan sejak kemerdekaan serta bersempena dengan Hari Antarabangsa untuk Membasmi Kemiskinan PBB, yayasan ini akan menganjurkan program khas pada 28 Okt.

Program itu, Hari Antarabangsa YS untuk Membasmi Kemiskinan bertemakan "Miskin Bandar, Yang Terlepas Pandang dan Kurang Diberi Perhatian" bagi mengetengahkan isu semasa yakni kemiskinan bandar serta implikasi luasnya kepada negara.

"Kemiskinan bandar ini perkara baru buat kami, banyak yang perlu kami pelajari sebelum membuat sebarang rumusan program membasmi kemiskinan bandar pada 2015", jelas Fauziah.

Acara kemuncak program yang dianjurkan bersama Pusat Keusahawanan Sosial, Universiti Binary ialah Forum Kemiskinan Bandar. Perbincangan menjurus kepada "Perspektif Kemiskinan Bandar" yang mana pandangan masyarakat antarabangsa akan dapat juga didengar.

Antara ahli panel forum yang telah mengesahkan kehadiran ialah Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Dr. Chamhuri Siwar, Pengasas Yayasan Chow Kit, Dr. Hartini Zainudin serta Pengarah NKRA (Jenayah), SRI (PSD) dan Projek Khas, Unit Pengurusan Presentasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), Datuk Dr. Amin Khan.

Maklumat lanjut mengenai majlis ini boleh layari laman sesawang rasmi www.sejahtera.my. Yang berminat menghadiri hari sambutan ini boleh menghubungi YS nombor telefon 03-22680041 (sambungan 0038) atau emel .

-- BERNAMA

Senarai Perkhidmatan Online

Bancian

Hujan lebat boleh menjadi petanda awal berlakunya tanah runtuh.

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Menara Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Lihat Direktori Bahagian/Pejabat Negeri

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon
isms
 

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.