Pengumuman
A- A A+

jata88px

 KENYATAAN MEDIA

 YB DATUK SERI DR. HAJI WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

 GEMPA BUMI PADA 8 MAC 2018 DI KUNDASANG, SABAH

10 MAC 2018

 

1. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah mengambil perhatian terhadap kejadian gempa bumi yang berlaku di Kundasang, Sabah pada 8 Mac 2018 jam 9.06 pm, yang berkuatan 5.2 pada skala Richter. Kita amat bersyukur kerana tiada berlaku kemalangan jiwa. Kejadian gempa bumi ini telah dirasai di kawasan Kundasang, Ranau, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Penampang, Kinarut, Papar serta Telupid.

2. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang aktif melaksanakan kerja-kerja kajian berkaitan gempa bumi sejak tahun 2016 hingga kini. Sebahagian kajian dilaksanakan secara National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang mana melibatkan pelbagai disiplin, Kementerian, Jabatan, Institusi Pengajian Tinggi, institusi berkepakaran seperti Institut Engineer Malaysia, Persatuan Arkitek Malaysia dan berbagai pihak lagi.

3. Dalam hal gempa bumi ini, JMG memainkan peranan utama dengan membuat tafsiran data gempa yang dibekalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang terletak di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi. Data yang ditafsir ini dihubungkaitkan dengan keadaan geologi setempat, keberadaan sesar-sesar di kawasan tersebut dan menentukan punca berlakunya gempa bumi tersebut. Gabungan data Meteorologi dan tafsiran-tafsiran ini, maka terhasillah Peta Bencana Seismos (Seismic Hazard Map) pada tahun 2017. Peta ini sangatlah berguna dalam penghasilan garispanduan yang telah menjadikan bahan rujukan utama oleh para perancang guna tanah, jurutera, arkitek dan pihak pemaju dalam pembinaan bangunan dan infrastruktur negara seperti jalanraya dan jambatan.

4. Hasil kajian dan tafsiran ini juga digunakan oleh NRE untuk mendidik rakyat jelata yang menduduki kawasan-kawasan yang berisiko tinggi bagaimana menghadapi bencana gempa bumi agar lebih berdaya tahan kepada bencana tersebut. Usaha memasyarakatkan ilmu dan pengetahuan berkenaan gempa ini akan diteruskan dan dilaksanakan secara bersistematik.

5. Kementerian telah menjalinkan kerjasama dengan Pejabat-Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kawasan yang berkaitan dalam menganjurkan kempen kesedaran awam berkaitan bencana gempa bumi, kesan-kesannya yang secara langsung mahupun yang secara tidak langsung. Dalam hal ini, beberapa siri kempen kesedaran awam tersebut telahpun berjaya dilaksanakan.

6. Pada tahun 2017, kempen ini telah dilaksanakan di empat kawasan yang paling terjejas akibat gempa bumi berskala Richter 6.0 di Ranau pada 15 Jun 2015. Kawasan-kawasan tersebut adalah di Kundasang, Ranau (15 Ogos 2017), Paginatan, Ranau (16 Ogos 2018) dan Karanaan, Ranau (17 Ogos 2017) serta Kota Belud (11 Oktober 2017). Kempen ini telah diteruskan lagi pada tahun ini di mana ia telah dimulakan di Tempasuk, Kota Belud (Kg. Dudar) pada 27 Februari 2018. Kementerian sedang menimbangkan untuk meneruskan kempen tersebut ke kawasan-kawasan lain seperti Lahad Datu dan Tawau. Malah Kementerian juga menimbangkan untuk menganjurkan kempen kesedaran seumpama ini di Sarawak dan Semenanjung.

7. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberikan nasihat kepada mana-mana penduduk yang menduduki kawasan tebingan sungai dalam kawasan berisko bencana gempa bumi agar, apabila berlaku gempa bumi, sentiasalah memantau atau memerhatikan perubahan aliran air sungai di kawasan masing-masing. Jika aliran air berkurangan secara ketara daripada keadaan biasa, penduduk harus berwaspada kerana berkemungkinan besar telah berlaku gelongsoran tanah dan batuan di bahagian ulu sungai dan menghasilkan empangan air yang bersifat sementara ini. Kalau di daerah Ranau, keadaan ini disebut sebagai nowokok.

8. Jika berlaku air berbuih-buih macam bersabun dalam sungai, ada kemungkinan berlaku longgokan kayu yang menghadang aliran sungai di bahagaian ulu sungai. Buih-buih ini terhasil daripada pengumpulan lelemak tumbuhan kayu. Ini adalah hasil analisis Makmal Kimiabumi JMG Sabah pada tahun 2015. Jika ada tanda-tanda begini, jauhilah sungai berkenaan. Kedua-dua fenomena nowokok dan air berbuih ini berlaku di Sungai Mesilou sebelum berlakunya banjir lumpur selepas kejadian pada 15 Jun 2015 lalu.

9. Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga telah menghulurkan pertolongan kepada beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sedia menawarkan khidmat nasihat, perundingan teknikal dalam pemeriksaan kawasan-kawasan yang terlibat dengan kejadian gempa bumi tersebut bagi mengurangi risiko gempa bumi kepada orang awam dan harta benda. NRE juga bersedia membantu PBT-PBT lain yang berhasrat untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dan rendah yang boleh mendatangkan ancaman kepada penduduk dan harta benda di kawasan masing-masing.

10. Suka saya maklumkan di sini bahawa sebaik sahaja gempa bumi inidikesan, pada malam itu juga pegawai-pegawai saya di JMG telah menggerakkan pasukan bertindak secara serta-merta. Pihak JMG telah pun menghantar pasukan-pasukannya ke lapangan pada siang harinya bagi menilai kerosakan dan mengumpul bukti-bukti gerakan gempa bumi. Hasil pemerhatian ini akan kita ketahui dalam beberapa hari lagi.

11. Pegawai JMG telah juga memberikan penerangan di lapangan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Taman-Taman Sabah di Taman Kinabalu pagi keesokannya.

12. Saya juga ingin menasihatkan supaya penduduk-penduduk dalam kawasan berisko tinggi ini agar mengelak untuk mengunjungi kawasan yang berpotensi untuk berlakunya tanah runtuh dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan atau mana-mana agensi berhampiran jika terdapat perkara yang pelik seperti pengurangan aliran sungai.

13. Saya amat yakin pegawai-pegawai saya dalam JMG telah bertindak dengan sebaik-baiknya dalam mendekati masyarakat dan memasyarakatkan ilmu dan pengetahuan mereka agar terbina masyarakat yang berdaya tahan terhadap bencana gempa bumi. Saya juga yakin JMG akan melaksanakan gerak kerja ini secara NBOS melibatkan Jabatan-Jabatan lain dalam NRE ini sendiri.

14. Saya memberi jaminan di sini bahawa NRE sentiasa peka, sensitif dan mengambil peduli terhadap kebajikan rakyat dan masyarakat berdasarkan bidang kuasa yang ada.

Sekian, terima kasih.

Senarai Perkhidmatan Online

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Aras 9, Menara PjH,
No. 2, Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 2, 62100 PUTRAJAYA.

Tel: (+603) 88716000
Faks: (+603) 88716145/46
Emel: helpdesk [at] jmg [dot] gov [dot] my

Lihat Direktori Bahagian/Pejabat Negeri

Sentiasa Berhubung

Facebook-icon Twitter-icon Youtube-icon Blogger-icon RSS-icon
Mobile-icon jmg mobile qr code mobile apps icon
isms
 

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.