Senarai Blog

PROGRAM LAWATAN TEKNIKAL DAN PENGAMBILAN SAMPEL DI NORTHERN DOLOMITE SDN BHD, PERLIS

PROGRAM LAWATAN TEKNIKAL DAN PENGAMBILAN SAMPEL DI NORTHERN DOLOMITE SDN BHD, PERLIS

Pada 5 April 2018, satu lawatan teknikal dan aktiviti pengambilan sampel di kuari Northern Dolomite Sdn Bhd, Felda Rimba Mas, Chuping, Perlis telah dianjurkan oleh Cawangan Teknologi Bahan Termaju (CTBT). Lawatan ini telah diketuai oleh Pn Hamizah Binti Abd Samad dan disertai oleh Penolong Pegawai Penyelidik, Pembantu Penyelidik, Pembantu Awam dan seorang pelajar latihan industri.  Para pegawai CTBT telah disambut sendiri oleh pengarah urusan Northern Dolomit Sdn Bhd iaitu Tn Ruslan Jamaludin dan diberi penerangan yang mendalam mengenai latar belakang kuari, sumber bahan mentah, pemprosesan dolomit dan pelbagai kegunaan dolomit dalam industri pertanian sebagai baja dan bahan mentah untuk pembakaran kaca. Produk akhir dolomit yang dihasilkan oleh kuari ini adalah dalam bentuk serbuk yang dikenali sebagai Ground Magnesium Limestone (GML).

Baca selanjutnya

Terpaksa Guna Telaga Tiub JMG Bagi Padam Kebakaran Tanah Gambut (Sinar Harian 7/4/2018)

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/terpaksa-guna-telaga-tiub-1.819248

 

Terpaksa Guna Telaga Tiub JMG Bagi Padam Kebakaran

 
 Nik Amirulmu'min Nik Min
 
7 April 2018
 
Terpaksa guna telaga tiub
Dua anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
 
 

PEKAN - Operasi memadam kebakaran melibatkan kawasan ladang milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Pekan berdepan kesukaran ekoran masalah punca air kering dan cuaca panas.

Anggaran kawasan terlibat lebih 12 hektar dan kawasan kebakaran yang berjaya dipadamkan kira-kira dua hektar sehingga petang semalam.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pemadaman pagi semalam berdepan masalah apabila sumber air dari kawasan parit berhampiran kering.

Menurutnya, bomba kini bergantung kepada bekalan air dari telaga tiub milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk operasi tersebut.

“Pada masa sama, kita juga mendapat bantuan daripada PKNP yang menyediakan jentolak dalam operasi ini.

“Operasi pemadaman masih dalam tindakan dan bagi melancarkan operasi kita minta pihak JMG operasikan telaga tiub di kawasan itu selama 24 jam,” katanya.

Ashrul Riezal berkata, kebakaran yang berjaya dipadamkan setakat ini melibatkan kawasan kira-kira satu kilometer dari jalan utama bagaimanapun agak membimbangkan apabila api merebak semakin jauh ke dalam ladang.

“Setakat ini ada kawasan pokok-pokok kelapa sawit telah musnah, jadi kita cuba kawal kebakaran supaya ia tidak merebak dan memusnahkan kawasan yang lebih besar.

“Dalam operasi ini, seramai 15 anggota bersama dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan terlibat,” katanya.

Menurutnya, kebakaran di kawasan itu sudah dilaporkan beberapa kali dan operasi pemadaman dilakukan namun pagi kelmarin, api merebak dengan cepat dan melibatkan kawasan agak luas.

“Kawasan ladang ini juga bertanah gambut yang mudah terbakar dalam keadaan cuaca panas sekarang,” katanya.

 

 

Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub SMK Senibong, Lundu, Sarawak

Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub SMK Senibong, Lundu, Sarawak

LUNDU 7 April 2018 – Majlis perasmian dan penyerahan sistem telaga tiub SMK Senibong telah diadakan di sini baru-baru ini. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Ranum anak Mina, ADUN N1 Opar. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) NRE, Dato’ Hj Suhaimi Hj Mamat; Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Datuk Shahar Effendi bin Abdullah Azizi; Pengarah JMG Sarawak, Encik Enggong Aji; Pengarah JMG Negeri Sembilan/Melaka, Encik Joanes Muda; Timbalan Pengarah PPO, Encik Nizarulikram Abdul Rahim; Wakil Pengarah JMG Terengganu, Encik Razaidi Shah, ketua-ketua masyarakat, guru-guru dan murid-murid SMK Senibong.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Ranum melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada JMG Sarawak khasnya dan JMG Malaysia kerana di atas usaha JMG, masalah bekalan air terputus-putus yang sedang melanda sekolah tersebut telah dapat diatasi. SMK Senibong mempunyai 446 orang murid di mana 226 murid menginap di asrama sekolah tersebut. Semasa acara perasmian tersebut, bekalan air bersih telah terputus sejak 9 hari yang lalu. Dengan adanya bekalan air bersih daripada sistem air tanah yang dibangunkan oleh JMG, maka masalah bekalan air di sekolah tersebut telah dapat diatasi.

Ketua Pengarah JMG turut melahirkan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan tersebut. Beliau turut berpesan kepada semua murid dan para guru agar dapat menjaga dan menyelenggara sistem bekalan air tanah tersebut dengan baik berpandukan kepada manual penyelenggaraan yang telah diserahkan kepada wakil Pengetua SMK Senibong.

Dengan kejayaan pembinaan sistem bekalan air tanah sebagai sumber air bersih di SMK Senibong, sekali lagi menunjukkan bahawa sumber air bersih daripada sumber air tanah merupakan sumber alternatif yang terbaik di kawasan yang menghadapi masalah bekalan air dari sumber air permukaan.

 

 

 

 

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Aras 9, Menara PjH,
No.2, Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 2, 62100 PUTRAJAYA.

Tel: (+603) 88716000
Faks: (+603) 88716145/46
Emel: helpdesk [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon