Senarai Blog

JMG siap bina 40 telaga tiub sejak 2016 - UTUSAN MALAYSIA 13/4/2018

JMG siap bina 40 telaga tiub sejak 2016 - UTUSAN MALAYSIA 13/4/2018

 

JMG siap bina 40 telaga tiub sejak 2016

 
AHLI Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan,  Datuk Khairuddin Mahmud meninjau proses operasi telaga tiub

AHLI Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Datuk Khairuddin Mahmud meninjau proses operasi telaga tiub di pekarangan Sekolah Menengah Agama Darul Makmur, Ganchong di Pekan, Pahang hari ini. - UTUSAN ONLINE

12 April 2018 1:07 PM

 

PEKAN 12 April - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah menyiapkan pembinaan 40 unit telaga tiub di seluruh negara sejak dua tahun lalu bagi membantu membekalkan air kepada penduduk.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Zukeri Ab. Ghani berkata, pemilihan lokasi pembinaan telaga tiub tersebut dibuat berdasarkan permohonan dikemukakan penduduk setempat dan masalah air yang berlaku di tempat mereka.

Katanya, pihaknya juga sedang mengenal pasti kawasan-kawasan lain seperti yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-11 untuk membantu masyarakat mendapatkan bekalan air sebagai sumber altetnatif air bersih.

“Pembinaan telaga tiub di seluruh negara ini melibatkan kos kira-kira RM3.9 juta yang dilengkapkan dengan sistem penapisan ringkas untuk memastikan kualiti dan sumber air bersih.

“Memandangkan telaga dan sistem pembangunan telaga ini digunakan sepanjang masa, sudah tentu ia memerlukan penyelenggaran berterusan. Penduduk setempat perlu mempunyai tanggungjawab memastikan telaga ini bebas daripada pencemaran atau kerosakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian dan penyerahan telaga tiub serta sistem penapisan air tanah ringkas yang disempurnakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Datuk Khairuddin Mahmud

di Sekolah Menengah Agama Darul Makmur, Ganchong di sini hari ini.

- UTUSAN ONLINE

 

Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan

Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan

Oleh : Mohammmad Aznawi b. Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

 

spatr

spatr1

spatr2

Pada 12 April 2018, telah diadakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan. Sekolah Menengah Agama Ganchong ini ditubuhkan pada tahun 11 Ogos 1969 yang berasaskan pendidikan agama pada awal penubuhannya oleh penduduk setempat. Pada masa sekarang, Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong mempunyai seramai 18 orang guru yang terdiri daripada 4 guru lelaki serta 13 guru perempuan dan pelajar seramai 160 orang laki-laki dan perempuan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Majlis ini diadakan di perkarangan lapang bersebelahan surau sekolah yang turut menempatkan telaga tiub dan SPATR yang dibangunkan oleh JMG Pahang di bawah skop Projek Kajian Sumber Air Tanah JMG Pahang pada Disember 2016. Seawal jam 8.30 pagi lagi, para jemputan dan hadirin serta pelajar sekolah telah mulai memenuhi perkarangan sekolah dan tapak majlis ini. Para jemputan dan hadirin, termasuk wakil-wakil dari Jabatan-jabatan Negeri Pahang dan Persekutuan di Pahang, penghulu-penghulu serta ketua-ketua kampung dihidangkan dengan sarapan pagi dan disampaikan sumbangan cenderahati atas kehadiran.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JMG Malaysia, Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Zukeri bin Abd Ghani tiba di tapak majlis pada pukul 9.15 pagi dan disambut oleh Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir Azman bin Ab. Majid, pengetua sekolah Ustaz Mohd Khalid bin Abdul Majid serta kakitangan JMG Pahang yang hadir.

spatr3

Yang Hormat Dato’ Khairuddin bin Mahmud, selaku perasmi majlis tiba tepat pada pukul 10 pagi. Beliau yang merupakan mantan Ahli Yang Berhormat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pulau Manis, Pekan selepas pembubaran Parlimen Malaysia pada 6 April dan 7 April bagi Dewan Undangan Negeri Pahang telah disambut oleh Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah JMG Malaysia dan Dato’ Pengarah JMG Pahang serta semua jemputan yang meraikan kedatangan beliau.

spatr5

Pembukaan majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat dan kesejahteraan oleh Ustaz Muhammad Muslihin Bin Muhammaddin, seorang tenaga pengajar sekolah tersebut.

spatr8

Selesai bacaan doa, majlis mempersilakan En. Ismail bin Othman selaku Pengerusi Jemaah Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong menyampaikan ucapan aluan. En. Ismail antara lain telah menceritakan sedikit sebanyak berkenaan asal-usul dan sejarah penubuhan dan perkembangan sekolah. Beliau selaku pengerusi jemaah sekolah amat berterima kasih atas sumbangan telaga tiub dan SPATR oleh JMG yang banyak membantu permasalahan bekalan air bersih di sekolah dan penduduk setempat. Beliau juga mengusulkan cadangan supaya telaga tiub ini boleh turut dibuka dan diguna pakai oleh penduduk kampung, terutama ketika berlaku masalah banjir.

spatr9

Majlis diteruskan dengan ucapan Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JMG Malaysia, Tuan Haji Mohd Zukeri bin Abd Ghani. Beliau menyampaikan salam hormat dari Ketua Pengarah JMG Malaysia, Datuk Haji Shahar Effendi bin Abdullah Azizi yang tidak dapat hadir bagi majlis perasmian dan penyerahan telaga ini. Tuan Haji Zukeri selanjutnya telah memberikan penerangan berkaitan fungsi, misi dan tugas utama JMG Malaysia kepada para hadirin. Beliau juga turut memaklumkan berkenaan projek telaga tiub dan sumber air tanah yang merupakan antara sumbangan JMG yang begitu dekat dengan rakyat dan memaklumkan JMG akan terus berusaha untuk memastikan setiap projek dilaksanakan oleh JMG akan memberi manfaat dan kebaikan lansung kepada orang ramai.

 

spatr10

Majlis seterusnya mempersilakan Dato’ Khairuddin bin Mahmud ke pentas ucapan. Datuk Khairuddin menyatakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub dan SPATR Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan ini merupakan majlis rasmi pertama beliau semenjak pembubaran DUN Pahang yang lalu dan dengan nada berseloroh beliau menyatakan sukar juga untuk beliau mencari pakaian yang sesuai selaku mantan Ahli Yang Berhormat. Beliau seterusnya menceritakan sedikit sebanyak pengalaman beliau dalam membantu urusan perkembangan sekolah, termasuk bajet yang telah dikhususkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kepada sekolah. Beliau juga menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada pihak JMG Pahang yang telah memilih sekolah tersebut dan beberapa sekolah lain di kawasan DUN Pulau Manis, Pekan untuk dibuat sistem telaga tiub dan SPATR. Projek-projek tersebut yang diusahakan JMG, menurut beliau telah banyak membantu sekolah-sekolah di sekitar daerah Pekan dan Rompin, penduduk kampung dan penduduk setempat yang mengalami permasalahan bekalan air bersih, walaupun kebanyakan kawasan berada berhampiran Sg Pahang. Datuk Kahiruddin selanjutnya berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub dan SPATR berkenaan kepada pihak Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan.

 

spatr11

spatr12

 Dato’ Khairuddin bin Mahmud bersama para jemputan dan hadirin seterusnya dibawa melawat ke sistem SPATR yang dibangunkan dan telaga tiub yang dibina, dengan diiringi oleh Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah JMG Malaysia, Dato’ Pengarah JMG Pahang, Timb. Pengarah Geosains, En. Wan Saifulbahri bin Wan Mohamad. Penerangan berkenaan fungsi dan model telaga telah diberikan. Dato’ Khairuddin seterusnya dibawa ke Bilik Pameran oleh JMG Pahang yang terletak di bangunan baharu sekolah berkenaan. Beliau kelihatan sangat berminat dan tertarik dengan foto-foto dan bahan-bahan yang dipamerkan antara lain menerangkan secara umum tugas JMG, fungsi spesifik unit-unit yang ada di JMG Pahang dan artifak sampel batuan dan mineral, termasuk sampel bauksit yang dipamerkan.

spatr13

spatr14

spatr15

spatr16

 Sebagai penghargaan dan terima kasih, Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JMG Malaysia seterusnya menyampaikan cenderamata tanda kenangan JMG Malaysia kepada Dato' Khairuddin bin Mahmud. Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub dan SPATR Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan.ini ditangguhkan pada pukul 12.30 tengahari dengan jamuan makan tengahari.

spatr17

spatr18

Adalah diharapkan telaga tiub ini dapat mmeberikan manfaat yang berterusan kepada semua kakitangan dan pelajar sekolah agama ini secara khusus dan penduduk setempat serta penduduk kampung yang selama ini seringkali mengalami masalah bekalan air terutama ketika cuaca kemarau atau pun selepas kejadian banjir besar. Semoga projek yang dilaksanakan ini akan memberikan kerahmatan dan keberkatan untuk semua...Insha Allah

spatr19

 

- sekian -

Terpaksa Guna Telaga Tiub JMG Bagi Padam Kebakaran Tanah Gambut (Sinar Harian 7/4/2018)

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/terpaksa-guna-telaga-tiub-1.819248

 

Terpaksa Guna Telaga Tiub JMG Bagi Padam Kebakaran

 
 Nik Amirulmu'min Nik Min
 
7 April 2018
 
Terpaksa guna telaga tiub
Dua anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
 
 

PEKAN - Operasi memadam kebakaran melibatkan kawasan ladang milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Pekan berdepan kesukaran ekoran masalah punca air kering dan cuaca panas.

Anggaran kawasan terlibat lebih 12 hektar dan kawasan kebakaran yang berjaya dipadamkan kira-kira dua hektar sehingga petang semalam.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pemadaman pagi semalam berdepan masalah apabila sumber air dari kawasan parit berhampiran kering.

Menurutnya, bomba kini bergantung kepada bekalan air dari telaga tiub milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk operasi tersebut.

“Pada masa sama, kita juga mendapat bantuan daripada PKNP yang menyediakan jentolak dalam operasi ini.

“Operasi pemadaman masih dalam tindakan dan bagi melancarkan operasi kita minta pihak JMG operasikan telaga tiub di kawasan itu selama 24 jam,” katanya.

Ashrul Riezal berkata, kebakaran yang berjaya dipadamkan setakat ini melibatkan kawasan kira-kira satu kilometer dari jalan utama bagaimanapun agak membimbangkan apabila api merebak semakin jauh ke dalam ladang.

“Setakat ini ada kawasan pokok-pokok kelapa sawit telah musnah, jadi kita cuba kawal kebakaran supaya ia tidak merebak dan memusnahkan kawasan yang lebih besar.

“Dalam operasi ini, seramai 15 anggota bersama dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan terlibat,” katanya.

Menurutnya, kebakaran di kawasan itu sudah dilaporkan beberapa kali dan operasi pemadaman dilakukan namun pagi kelmarin, api merebak dengan cepat dan melibatkan kawasan agak luas.

“Kawasan ladang ini juga bertanah gambut yang mudah terbakar dalam keadaan cuaca panas sekarang,” katanya.

 

 

Mesyuarat Jawatankuasa Persediaan Majlis Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan

Mesyuarat Jawatankuasa Persediaan Majlis Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan

Oleh : Mohammmad Aznawi b. Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

Pada 4 Mac 2018, telah diadakan mesyuarat jawatankuasa persediaan bagi Majlis Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan. Mesyuarat telah diadakan di Bilik Mesyuarat Gipsum, Tingkat 3 Bangunan JMG Pahang pada pukul 3.00 petang bagi membentangkan dan membincangkan perkembangan dan kemajuan persediaan majlis tersebut. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir Azman bin Abd Majid selaku penasihat dan dihadiri oleh seramai 22 ahli jawatankuasa persediaan majlis, diketuai oleh Timbalan Pengarah Geosains, En Wan Saifulbahri bin Wan Mohamad selaku pengerusi majlis.

 

majlis penyerahan 2

Sebagai jus makluman, majlis dicadang akan diadakan pada tarikh 12 April 2018 bersamaan hari Khamis, di Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong Pekan. Majlis dirancang akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pulau Manis, Pahang iaitu Dato’ Khairuddin bin Mahmud. Majlis dirancang akan bermula pukul 9.00 pagi pada hari tersebut manakala perasmian oleh ADUN dijangka akan dilaksanakan sekitar pukul 10.30 pagi. Antara dif-dif kehormat VIP yang akan dijemput termasuklah Pengurusan Tertinggi JMG Malaysia, Pegawai Daerah Pekan, Ketua-ketua jabatan dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Pahang, wakil-wakil Kementerian, Ketua-ketua jabatan setempat serta penduduk-penduduk tempatan, di samping pelajar dan para penjaga, ibu bapa dari sekolah berkenaan sendiri.

Mesyuarat antara lain telah membincangkan tentang perjalanan majlis yang bakal diadakan beserta perkembangan kemajuan tugas setiap jawatankuasa yang dilantik lebih awal. Sesi lawatan tapak dimaklumkan telah dibuat di tapak perasmian majlis berkenaan pada 29 April 2018 manakala beberapa sesi perbincangan bersama pihak-pihak lain yang berkaitan lain, antaranya termasuk Jabatan Penerangan Pahang, Majlis Daerah Pekan, Pejabat Tanah dan Daerah Pekan, RELA, pengetua sekolah berkenaan dan penduduk setempat telah dilaksanakn lebih awal. Beberapa permasalahan luar jangka berkaitan perjalanan majlis telah diutarakan dan dibincangkan bersama bagi mendapatkan kata putus dan penyelesaian.

 

majlis penyerahan 1

Dato’ Pengarah JMG Pahang dalam ucapan penangguhan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah berusaha membuat persediaan untuk majlis berkenaan. Beliau mengharapkan kerjasama dan komitmen yang tinggi dari semua kakitangan JMG Pahang bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan majlis yang dirancang.

Mesyuarat mesyuarat jawatankuasa persediaan bagi Majlis Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) ini ditangguhkan pada pukul 5.30 petang.

- sekian -

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang 2018

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang 2018

Oleh : Mohammmad Aznawi b. Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

Pada 4 Mac 2018, telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang, Mesyuarat ini merupakan mesyuarat kali pertama bagi pemantauan projek pembangunan bagi tahun 2018 dan diadakan di Bilik Mesyuarat Gipsum, Tingkat 3 Bangunan JMG Pahang bagi membentangkan perkembangan dan kemajuan kerja projek pembangunan yang dilaksanakan oleh JMG Pahang. Mesyuarat diihadiri oleh Pengarah JMG Pahang selaku pengerusi mesyuarat, Timbalan Pengarah JMG Pahang, ketua-ketua unit teknikal dan semua pegawai projek yang berkaitan. Mesyuarat bermula pukul 9.30 pagi.

Mesyuarat Pembangunan April 2018

Mesyuarat dimulakan dengan taklimat umum dari Dato’ Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir Azman bin Abd Majid berkenaan pemakluman dan perkembangan semasa JMG Pahang. Antara lain, beliau mengingatkan semua pegawai untuk melengkapkan Sasaran Kerja Tahunan 2018 dan kakitangan bawahan masing-masing. Beliau juga memberikan peringatan kepada semua pegawai untuk memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut masa dan skop kerja yang ditetapkan.

Mesyuarat kemudian dipandu oleh Cik Khairunnisa binti Alias selaku setiausaha mesyuarat. Pembentangan pertama ialah oleh En. Abdul Razak bin Zainal Abidin selaku pegawai bertanggung jawab projek geowarisan bagi JMG Pahang. En. Razak telah membentangkan kemajuan kerja projek geowarisan di kawasan Merapoh, Lipis. Ini disusuli oleh En. Zaidi bin Mat Zin yang membuat pelaporan berkaitan Projek Sumber Mineral Mineral Berlogam, antaranya termasuk kajian susulan potensi emas di Lanchang, Temerloh Pahang serta penemuan sumber emas terbaharu beliau dan pasukan beliau.

Sesi selanjutnya ialah pembentangan oleh En Yusuf bin Imbun, Beliau melaporkan berkenaan kemajuan kerja projek di bawah kawal selia beliau iaitu kajian sumber bauksit di daerah Maran. Cik Nafizah binti Md Padzin seterusnya membentangkan laporan berkaitan projek kajian sumber nadir bumi (rare earth material) di daerah Raub dan Rompin. Kajian sumber nadir bumi ini merupakan antara kajian mineral terbaharu JMG Pahang bermula pada tahun 2016.

En Muhammad bin Abdullah selanjutnya menyampaikan pembentangan projek beliau berkaitan Kajian Sesar Aktif dan kawasan risiko gempa bumi di sekitar daerah Bentong serta kemajuan Projek Pemetaan Bencana dan Risiko Cerun (PBRC) daerah Cameron Highlands. Beliau juga melaporkan berkenaan kemajuan dan status penggunaan drone yang dibeli pada tahun 2017. Ini diikuti seterusnya oleh pembentangan En Zainal Abidin bin Jamaluddin mengenai kajian sumber air tanah yang melibatkan antaranya termasuklah pembangunan sumber air tanah di kawasan masalah bekalan air (water stress area) dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) di sekitar daerah Pekan, Rompin dan Raub.

Pembentangan laporan terakhir berkaitan Projek Pembangunan JMG Pahang dibuat oleh Cik Khairunnisa binti Alias berkenaan Kajian Penilaian Rizab Air Tanah Negara bagi Lembangan Sungai Pahang dan kemajuan kerja projek kajian tanah gambut dan telaga tiub yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Malaysia.

Dato’ Pengarah JMG Pahang dalam ucapan penutup beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah berusaha menyiapkan semua projek pembangunan yang dibentangkan. Beliau juga berharap pada tahun 2018 ini, semua projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan baik mengikut masa yang ditetapkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang ini ditangguhkan pada pukul 1.30 petang dengan jamuan makan tengahari.

- sekian -



Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Aras 9, Menara PjH,
No.2, Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 2, 62100 PUTRAJAYA.

Tel: (+603) 88716000
Faks: (+603) 88716145/46
Emel: helpdesk [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon